Gambar Ramadhan |
Bersyukur darah kita masih mengalir, nafas masih turun naik untuk menyambut bulan Ramadan tahun ini. Dalam pada itu, masalah pembaziran makanan masih berlaku setiap tahun pada bulan Ramadan. Seolah-olah Ramadan merupakan pesta makanan di mana manusia suka membazirkan makanan yang berlebihan.
Walaupun perkara ini diingatkan saban tahun, namun ia masih berlaku. Bagi orang Islam madrasah Ramadan merupakan masa yang sangat sesuai untuk kita buat perubahan. Latih diri untuk tidak mengikut hawa nafsu semasa berbuka dan tidak membuang sisa makanan.
Makna puasa dalam bahasa Arab adalah “shaum” dan “siyam”. Kata “shaum” bererti untuk menjauhkan diri dari sesuatu, menahan diri, untuk mencegah diri dalam bahasa Arab. Tetapi apa yang sebaliknya berlaku adalah kita berpuasa di siang hari dan kemudiannya makan dua kali ganda di malam hari.
Ia seakan ingin membalas dendam setelah tidak makan seharian. Kita menyediakan bermacam-macam jenis makanan untuk berbuka puasa dan apabila tidak habis makanan itu akan berakhir di tong sampah. Jelas ini bukanlah falsafah dan semangat bulan yang mulia ini.
Dilaporkan rakyat Malaysia membazirkan sebanyak 15,000 tan metrik makanan sehari termasuk 3,000 tan yang masih boleh dinikmati dan tidak sepatutnya dibuang. Pembaziran makanan semakin meningkat pada musim-musim perayaan dan dilihat sebagai satu tabiat yang seharusnya dikekang bagi memastikan amalan membazir tidak berterusan.
Selain daripada pembaziran sedemikian, juga berlaku kehilangan bahan makanan. Kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menunjukkan 28.4 peratus daripada jumlah padi yang dihasilkan juga hilang begitu sahaja. Bagi buah-buahan dan sayur-sayuran pula, 20 hingga 50 peratus dibuang dan tidak sampai ke pengguna.
Sementara itu, Pegawai Pembangunan Perusahaan Kanan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Dr. Rosa Rolle berkata, standard Food Loss and Waste (FLW) akan dilancarkan bulan depan bagi menangani cabaran kuantiti kehilangan dan pembaziran makanan.
Standard tersebut akan membolehkan pelbagai entiti, negara dan rantau lain mengambil kira dan melaporkan dengan praktikal, boleh dipercayai dan cara yang konsisten di peringkat antarabangsa mengenai jumlah pembuangan dan pembaziran makanan serta mengenal pasti di mana berlakunya bagi membolehkan usaha untuk sasaran mengurangkannya.
Pembangunan standard itu dikoordinasikan oleh World Resources Institute (WRI) bersama beberapa rakan kongsi seperti Consumer Goods Forum (CGF) dan World Business Council for Sustainable Development (WBCSD).
Di peringkat global, kira-kira 1.3 bilion tan metrik makanan dibuang atau dibazirkan setiap tahun yang bernilai RM4.4 trilion. Jelas isu pembaziran makanan ini berlaku di seluruh dunia dan memerlukan usaha yang sepadu bagi menanganinya.
Perbuatan membazir adalah satu tabiat buruk manusia yang sering terjadi apabila mereka dikurniakan rezeki atau nikmat yang banyak. Mereka seolah-olah lupa bahawa rezeki yang diperoleh itu sebenarnya kurniaan Allah SWT.
Firman Allah dalam Surah Al-Israa’ ayat 27 yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”
Serta Surah Al-Israa’ ayat 26:
“Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang-orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros dan melampau batas.”
Sebarang pembaziran akan membawa kesan yang buruk terhadap rohani dan jasmani seseorang. Harta yang kita miliki bukan hak mutlak kita tetapi adalah hak Allah SWT. Kita hanyalah sebagai pengurus yang pasti akan ditanya dari mana dan ke mana harta yang kita peroleh dan belanjakan. Harta yang dimiliki bukan hak mutlak kita untuk dibelanjakan sesuka hati.
Menurut Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), pemilik restoran telah mendedahkan kira-kira lima hingga 10 peratus makanan yang dimasak tetapi tidak dapat dijual dibuang begitu sahaja setiap hari. Pada masa sama, 10 peratus makanan yang dipesan oleh pelanggan dan tidak habis dimakan juga dibuang.
Antara faktor pembaziran makanan yang dikenal pasti oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang adalah antara 15 hingga 20 peratus makanan yang dihidangkan pada musim perayaan, bufet, majlis perkahwinan, majlis hari lahir dan majlis perkumpulan dibuang begitu sahaja disebabkan perancangan yang lemah dan kekurangan kehadiran tetamu.
Rakyat Malaysia juga mempunyai tabiat suka memenuhi pinggan mereka dengan makanan dan sering tidak menghabiskannya setelah mengambilnya. Sikap tamak ini akan menaikkan jumlah makanan yang dibuang.
Selain individu, restoran, hotel, penjaja, pusat komersial (yang menghidangkan makanan), peruncit makanan dan pasar antara golongan yang suka membazir makanan. Maka tidak hairanlah apabila Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, S M Mohamed Idris telah menggesa agar perbuatan pembaziran makanan dijadikan sebagai satu jenayah yang boleh dihukum.
Ingatlah kepada saudara-saudara kita seperti pelarian Syria dan Palestin. Anak-anak mereka kebuluran, mereka kekurangan bekalan makanan sehingga ada yang sanggup memakan kucing demi kelangsungan hidup. Begitu berharganya sebutir beras bagi mereka namun kita di sini masih leka dan tidak pernah mengambil iktibar daripada kisah hidup mereka.
Sumber: Utusan