Menteri Besar Ambil Berat Tentang Kami - Mahasiswa Kedah


SUNGAI PETANI - Rakyat di negeri Kedah diminta agar memandang tinggi terhadap peranan Kerajaan Negeri Kedah yang begitu mengambil berat serta prihatin terhadap golongan mahasiswa anak Kedah.

Siswa tahun akhir Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) Mohd Fazuwan Mohd Hanafi berkata, mahasiswa amat teruja dengan keprihatinan Kerajaan Negeri yang amat mengambil berat dan sering bertanya khabar tentang keadaan mereka di kampus masing-masing.

"Harapan saya agar masyarakat di negeri Kedah ini sedar bahawa kerajaan sedia ada yang memerintah negeri Kedah ini sangat mengambil berat tentang isu-isu mahasiswa. Kami terlibat dengan faktor ekonomi di hujung-hujung semester, tiba-tiba dapat inisiatif macam ni bas percuma untuk balik ke kampung, ini pendekatan yang sangat baik.

Mohd Fazuwan
"Ia satu penghargaan.. bermaksud Kerajaan Negeri memandang mahasiswa ini sebagai satu aset generasi pelapis yang harus ditolong dan diringankan beban, pada kami ini sangat baiklah.. satu tindakan yang sangat baik dari Pejabat Menteri Besar Kedah," katanya. 

Fazuwan merupakan antara siswa yang mengikuti program Muafakat Soq Mahasiswa Kedah 2016 yang memperuntukkan sebanyak 20 buah bas  untuk membantu 800 mahasiswa-mahasiswi anak Kedah dari 12 institusi pengajian tinggi di seluruh negara.

Inisiatif dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Aman Makmur (Ansar) dibawah program ‪#‎BARAKAHAnakMuda‬, salah satu cabang program induk, BARAKAH.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Tajul Urus Md Zain hadir menyempurnakan program "Jom Balik Raya" berkenaan bagi mewakili Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Exco-Exco Kerajaan Negeri bersama pemimpin Persatuan Mahasiswa Aman Makmur (ANSAR) yang turut bekerjasama menganjurkan program.
Majlis berkenaan turut dimeriahkan oleh dua Exco Kerajaan Negeri, Datuk Tajudin Abdullah dan Datuk Noorsabrina Mohd Noor, Adun Kupang, Harun Abdul Aziz, Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin serta kepimpinan Ketua Pemuda dan Puteri UMNO dari seluruh Bahagian negeri Kedah.

Fazuwan yang merupakan siswa jurusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu itu menjelaskan bahawa kemesraan yang terjalin di antara mahasiswa dan pemimpin semakin erat ekoran pelbagai program dianjurkan pimpinanan Kerajaan Negeri Kedah.

"Kesan yang kami terima adalah hubungan rapat di antara pemimpin dengan pelajar tu sendiri, ada majlis makan sahur macam ni, kita dapat lihatlah jalinan yang mesra di antara pelajar dengan pemimpin kerajaan negeri," jelasnya yang berasal dari Sungai Petani ini.

Katanya lagi, inisiatif berkenaan adalah pertama kali dirasai oleh golongan mahasiswa sepertinya dan amat berterima kasih kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah atas budi baik beliau terhadap anak muda Kedah di perantauan itu.

"Sejak 3 tahun di UPSI, ini kali pertama program yang diberikan oleh Menteri Besar kepada kami anak-anak di UPSI dan universiti untuk merasai suasana pulang ke kampung dengan penyediaan bas percuma," ujarnya terharu.

Fazuwan turut berharap agar Kerajaan Negeri Kedah dapat menambah lagi jumlah bilangan bas "Jom Balik Raya" pada masa akan datang ekoran ramai anak-anak Kedah yang belajar di institusi pengajian tinggi di seluruh negara turut mengharap bantuan seperti itu.

"Lagi banyak lagi bagus," katanya.

Menurut pelajar tahun dua, Aishamira Zamri, yang mengikuti kursus Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Seni Persembahan di UPSI, program tersebut mampu mengeratkan lagi hubungan silaturrahim di kalangan anak-anak Kedah yang melanjutkan pelajaran ke universiti di seluruh negara.

Aisha (tiga dari kanan) dan keluarga bergambar bersama dua Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Tajul Urus dan Datuk Datuk Noorsabrina
Aisha yang dijemput keluarga dari Sungai Lalang di sini awal pagi tadi turut berharap agar program tersebut menjadi program tahunan kepada siswa-siswi anak Kedah khususnya di musim perayaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

"Program ni dapat mengeratkan lagi hubungan kami mahasiswa anak Kedah.. saya dari UPSI, ada ramai lagi dari universiti lain.. ia merapatkan lagu silaturrahim antara kami

"Program ini sangat membantu pelajar-pelajar universiti seperti kami.. saya harap sangat-sangat agar program sebegini diteruskan Kerajaan Negeri pada masa akan datang," katanya. -Kedahnews.com