Setiap kali tiba Ramadhan, banyak tradisi lama masyarakat Islam di seluruh dunia cuba dihidupkan semula.
Antara yang menarik terutama di negara Arab adalah tradisi kejut sahur atau dikenali sebagai mesaharati.
Mesaharati biasanya dilakukan sekumpulan lelaki dan kanak-kanak yang berjalan sekeliling bandar atau kampung untuk mengejutkan penghuninya bangun bersahur.
Di perkampungan kecil, mesaharati akan berhenti di setiap rumah dan memanggil nama penghuni sehinggalah mereka bangun.
Tradisi ini dipercayai bermula kerana ketika zaman dahulu tiada jam loceng untuk mengejutkan seseorang itu bangun sahur.
Walaupun kini terdapat pelbagai cara moden untuk bangun sahur tetapi mesaharati, dengan pakaian pakaian tradisional masih aktif di beberapa negara Arab seperti Arab Saudi, Mesir dan Yaman.
Mereka menggunakan pelbagai cara untuk mengejutkan orang ramai bangun sahur seperti bernyanyi, memukul gendang dan mengetuk pintu rumah dengan kayu.
Kumpulan ini tidak menerima sebarang bayaran tetapi biasanya apabila Ramadan berakhir penduduk memberi hadiah sebagai perhargaan terhadap sumbangan mereka.
Sejak beberapa abad lalu, mesaharati menjadi ikon Ramadan di banyak negara Arab dan Islam di seluruh dunia.
Namun kini, dengan kemajuan teknologi tradisi berkenaan perlahan-lahan dilupakan.
Pada awal kemunculan Islam, tradisi mesaharati belum wujud untuk mengejutkan orang ramai bersahur.
Ketika zaman Nabi Muhammad SAW, penduduk Islam di Madinah bangun bersahur apabila mendengar Bilal bin Rabah melaungkan azan.
Mereka terus bersahur sehinggalah seorang lagi sahabat Nabi, Abdullah Bin Umm Maktoum melaungkan bagi menandakan masuknya waktu subuh.
Apabila Islam berkembang ke seluruh dunia, kaedah baru digunakan untuk mengejutkan orang ramai bersahur.
Mesaharati kali pertama muncul ketika zaman pemerintahan Khalifah Abbasiyah.
Otbat Bin Ishaq yang ketika itu menjadi gabenor Mesir adalah mesaharati pertama yang dikenali dalam sejarah.
Pada tahun 238 hijrah, Otbat berjalan melalui jalan-jalan di Kaherah untuk mengejutkan penduduk bangun bersahur.
Ia bukan tugas mudah.
Otbat berusaha keras mewujudkan tradisi itu dengan berjalan kaki dari bandar tentera ke Fustat sambil melaungkan seruan: “Wahai hamba Allah, sudah sampai waktu bersahur. Terdapat rahmat dalam bersahur.”
Ketika era pemerintahan dinasti Fatimah, Khalifah Al-Hakim Bi Amrillah mengeluarkan arahan meminta penduduk tidur awal selepas solat sunat tarawih.
Dia juga mengarahkan askar mengetuk pintu rumah penduduk bagi mengejutkan mereka bangun bersahur.
Apabila masa beredar, pemerintahan melantik satu kumpulan atau mesaharati untuk menggantikan tugas askar berkenaan. -Agensi