Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Salahuddin Ayub |
KUALA KANGSAR - Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Salahuddin Ayub membidas PAS sebagai "bodoh" kerana cuba mendekatkan diri dan berbaik dengan kepimpinan UMNO, khususnya Presiden parti itu, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
Kata Salahuddin, beliau belajar dari pemimpin yang cerdik seperti bekas Presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadhil Noor dan bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang membenci UMNO sehingga dipenjara.
"Saya belajar dengan pemimpin yang cerdik, saya takkan belajar dari pemimpin yang tak cerdik. Pemimpin yang cerdik ni macam AlMarhum Ustaz Fadhil Noor, macam Tok Guru Nik Aziz.
"Ini pemimpin apa? Najib yang zalim, yang rasuah, yang ambil duit rakyat, (PAS) baik pula dengan Najib, matang kononnya," kata Salahuddin, menyelar kepimpinan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, di sini, lewat malam tadi.
Tempelak Salahuddin, beliau dulu diajar untuk menentang kezaliman "rejim" bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang disifatkan sebagai "tidak betul".
"Zaman Mahathir tak betul kita lawan. Mat Sabu masuk lokap, saya kena penjara, yang lain ramai kena ISA, kena gas pemedih mata, lokap ni jadi hotel rumah tumpangan, ramai yang jadi mangsa. Kita lawan...
Jelasnya, pendirian berkenaan adalah bertentangan dengan pendirian PAS sekarang yang kini lebih cenderung untuk menjalin kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan yang ditunjangi UMNO. -Kedahnews.com