Keadaan premis perniagaan dekat Pekan Baru Sungai Petani yang dilimpahi air selepas meter air dicuri. |
SUNGAI PETANI – Orang ramai yang melalui premis perniagaan dekat Pekan Baru, Sungai Petani terkejut apabila beberapa buah kedai dibasahi limpahan air dipercayai akibat kebocoran selepas meter air dicuri.
Saksi yang mahu dikenali sebagai Lim, 40-an berkata, dia pulang ke rumah pada jam 7 malam kelmarin, selepas selesai memeriksa premis perniagaan dan mengunci semua pintu seperti dilakukan setiap hari.
“Bagaimanapun, selepas datang semula pagi ini (semalam) untuk memulakan operasi pada jam 9 pagi, saya lihat air sudah melimpah di pekarangan kedai saya,” katanya.
Menurut Lim, selepas diperiksa, tiga meter air di hadapan kedai hilang disyaki dicuri pihak tidak bertanggungjawab.
Katanya, dia tidak tahu sudah berapa jam kejadian berlaku tetapi percaya kejadian itu dilakukan pada sebelah malam apabila kesemua premis ditutup.
Difahamkan, aduan sudah dibuat kepada pihak berkaitan dan tindakan selanjutnya telah dilakukan bagi mengatasi masalah tersebut.
Tinjauan mendapati keadaan kembali pulih pada jam 11 pagi selepas tindakan proaktif dilakukan kakitangan berkaitan.
Beberapa tahun lalu, kecurian meter air kerap dilaporkan berlaku di kawasan perniagaan Pekan Baru dan pernah disiarkan akhbar ini, namun lokasi kejadian ialah berdekatan premis baharu yang belum beroperasi sepenuhnya.
Akibat kejadian, beberapa peniaga yang menyewa premis perniagaan di kawasan itu terpaksa memasang kunci tambahan atau membina tembok pengadang atas faktor keselamatan bagi mengelakkan meter air mereka dicuri.
Sumber: Sinar Harian