Mohd Najib Ajak Umat Islam Doa Dipertemu Lailatul Qadar

Datuk Seri Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak umat Islam supaya menggunakan peluang rahmat dan kelebihan malam-malam terakhir Ramadan dengan ibadah dan berdoa moga dipertemukan dengan malam lailatulqadar.

Perdana menteri mengingatkan akan pahala amal ibadah pada malam lailatulqadar yang bersamaan dengan pahala mereka yang beribadah selama 1,000 bulan.

“Alangkah beruntungnya sekiranya kita telah memanfaatkan dan mengambil sepenuhnya peluang beribadah sepanjang hari-hari berpuasa yang telah berlalu,” kata beliau menerusi catatan terbaharu dalam blognya NajibRazak.com.

Bagaimanapun, “sekiranya ia berlalu tanpa kita (umat Islam) memanfaatkannya, masih belum terlambat untuk beramal dan beribadah mengumpul pahala dan rahmat Allah SWT yang berlipat ganda dalam bulan penuh keberkatan ini.

“Lebih-lebih lagi di penghujung Ramadan ini di dalamnya terdapat begitu banyak keberkatan sehinggakan Rasulullah SAW sendiri menghidupkan malam dengan memperbanyakkan ibadah dan amal kepada Allah SWT,” katanya. – BERNAMA