Mohd Najib Naik Taraf KUISAS Jadi Universiti Penuh

KUALA KANGSAR – Akhirnya impian puluhan ribu penduduk Kuala Kangsar ingin melihat Bandar Diraja Perak itu memiliki sebuah universiti penuh sendiri akhirnya tercapai tanpa perlu menunggu lebih lama lagi.

Paling manis, pembentukan universiti tersebut diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat penghulu segala hari dan mengambil keberkatan hari kelima umat Islam berpuasa Ramadan.

Lebih unik pengumuman Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) diberikan status sebagai sebuah universiti penuh dengan nama baharu iaitu Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) berkuat kuasa serta-merta.

Ia juga kebetulan tidak sampai beberapa hari calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd. Yazid meluahkan hasrat agar KUISAS dapat dinaik taraf menjadi universiti.


Najib yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi BN mengumumkan perkara berkenaan tanpa diduga pelbagai pihak dalam ucapannya di dewan utama solat sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid KUISAS di sini semalam.

“Bagi meneruskan kesinambungan bandar Kuala Kangsar yang merupakan bandar pendidikan Melayu tertua di Malaysia, maka sukacita saya pada hari ini mengumumkan KUISAS dijadikan sebagai sebuah universiti penuh.

“Dengan ini KUISAS juga akan layak menerima geran tahunan daripada kerajaan pusat berkuat kuasa serta merta,” kata Najib sambil menjelaskan bahawa KUISAS bakal dikenali menggunakan nama rasmi baharu iaitu USAS.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut jumlah geran tahunan berkenaan. Najib berkata, universiti tersebut dinamakan sedemikian setelah mendapat perkenan daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Turut menunaikan solat Jumaat ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Rektor USAS, Tan Sri Nordin Kardi serta empat orang anak calon BN, Wan Emir Astar, Wan Imar, Wan Iskandar dan Wan Amar.


Kira-kira 500 jemaah yang terdiri daripada warga USAS dan penduduk setempat menunaikan solat Jumaat di situ. KUISAS mulanya ditubuhkan di Ipoh pada 1999 dengan nama asalnya Kolej Islam Darul Ridzuan (Kisdar).

Ia hasil cetusan idea Sultan Perak ke-34, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Sultan Yussuf Izzuddin Shah pada 1986. Kisdar dinaik taraf menjadi KUISAS pada 2013 apabila berpindah ke kampus sedia ada di Bukit Candan.

Hari ini ia memiliki kira-kira 4,000 pelajar dan 200 tenaga pengajar sekali gus menjadi mercu tanda pendidikan di Bandar Diraja selain Kolej Melayu Kuala Kangsar, Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford dan Madrasah Idrisiah.

USAS menjadikan Perak kini ada lima universiti iaitu Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Teknologi Mara (UiTM), kedua-dua di Seri Iskandar; Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di Kampar.

Ia juga ialah universiti Islam kelima di Malaysia selepas Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) dan Universiti Islam Malaysia (UIM).

Menaik taraf KUISAS kepada sebuah universiti penuh merupakan antara satu daripada lima agenda yang dijanjikan oleh calon BN sendiri, kepada pengundi pada PRK Kuala Kangsar 18 Jun depan. –Kedahnews.com