Motel Di Alor Setar Jadi "Port" Bungkus Dadah Diserbu


ALOR SETAR - Kegiatan empat pengedar dadah menjadikan hotel bajet  sebagai 'port' untuk membungkus dadah sebelum ia dijual kepada pelanggan terbongkar apabila kesemua mereka ditahan dalam serbuan di sebuah bilik motel di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd. Rozi Jidin berkata, serbuan itu dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar kira-kira pukul 1.30 petang, Khamis lalu.

"Semasa serbuan dilakukan, empat suspek terdiri daripada lelaki  tempatan berusia antara 29 hingga 46 tahun sedang sibuk membungkus dadah jenis heroin dan syabu.

"Hasil pemeriksaan lanjut menemui sebanyak 45 paket heroin dianggarkan seberat 560.2 gram dan 18 paket heroin seberat 20 gram dengan anggaran nilai kesemua dadah ditemui kira-kira RM14,000," katanya pada sidang akhbar di IPD Kota Setar di sini, semalam.

Tambah beliau, kumpulan itu disyaki aktif menjadikan hotel-hotel bajet dan rumah tumpangan sebagai tempat untuk membungkus dadah  sebelum menjualnya kepada pelanggan di sekitar Alor Setar sejak sebulan lalu.

Sumber: Kosmo!