Mukhriz Tiada "Locus Standi" Ulas Hubungan UMNO - PAS


KOTA BHARU – Bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir tidak mempunyai ‘locus standi’ atau kedudukan untuk mengulas mengenai hubungan antara UMNO dan PAS, kata Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata Mukhriz tidak berhak memberi komen atas perkara itu kerana beliau tidak menganggotai mana-mana parti ketika ini.

“Mukhriz tak ada ‘locus standi’ untuk beri apa-apa komen mengenai hubungan UMNO dan PAS dan pandangan beliau tidak memberi apa-apa impak.

“Yang pastinya antara UMNO dan PAS, kedua-duanya mempunyai pucuk pimpinan yang sudah tentu ada kebertanggungjawaban kepada parti masing-masing, dan itu terpulanglah kepada parti masing-masing untuk menentukan hala tuju (mereka),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada anggota tentera dan anggota Badan Amal Kebajikan Angkatan Tentera di Kem Desa Pahlawan Kok Lanas di sini hari ini.

Semalam, Mukhriz dalam satu sidang akhbar mendakwa perjanjian UMNO dan PAS membabitkan ‘pertukaran’ yang melibatkan Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Jumaat lepas, Majlis Tertinggi (MT) UMNO memecat bekas timbalan presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mukhriz kerana melakukan pelanggaran disiplin. Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal digantung keanggotaannya sehingga MT menerima laporan daripada Lembaga Disiplin dan Tatatertib parti.

Annuar yang juga anggota MT UMNO berkata parti itu tidak menolak sebarang kerjasama dengan mana-mana pihak asalkan ia membawa kepada kebaikan agama, bangsa dan negara.


Di KUALA NERANG, seorang lagi anggota MT UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata Mukhriz perlu berfikir terlebih dahulu sebelum melontarkan tuduhan terhadap UMNO kononnya melakukan pakatan dengan PAS.

“Mukhriz perlu bercakap berlandaskan fakta tepat dan mempunyai pertimbangan asas,” katanya yang juga Menteri Pendidikan selepas Majlis Pelancaran Projek Telefon Awam Pintar Pelajar Sekolah (MyFon) di Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Ahmad.

Di ALOR SETAR, Ketua Pemuda UMNO Kedah Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin mendakwa tuduhan itu bertujuan membuka laluan kepada Parti Amanah Negara (Amanah) untuk menerajui kerajaan negeri Kedah, memandangkan Mukhriz dilihat begitu mesra dengan pemimpin Amanah.


“Tindakan beliau itu adalah jalan untuk membuka jalan kepada Amanah kerana seperti yang sedia tahu dia sangat rapat dan serasi dengan pimpinan kanan parti tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shaiful Hazizy berkata perjuangan UMNO dan BN lebih kukuh di bawah pemerintahan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berbanding semasa era pemerintahan Mukhriz dahulu dan ia tidak akan tergugat dengan dakwaan tidak berasas itu.

“UMNO di Kedah kuat atas sokongan padu dari semua cawangan dan bahagian selain kerjasama erat di antara masyarakat termasuklah para ulama, golongan anak muda, golongan profesional dan kelompok usahawan.

“Kita juga sedia maklum, UMNO dan BN berjaya meraih sokongan daripada masyarakat pada setiap kali pilihan raya umum adalah kerana perhatian dan khidmat bakti yang telah diberikan oleh pihak atasan parti,” katanya.- BERNAMA