Mungkin Tiada Yang Tergamak Makan Kek-Kek Ini


SEBAGAI jururawat terlatih, Katherine Dey sudah lali melihat anatomi manusia dan organ.

Namun, apabila dia kembali ke kabinnya di Nunda, New York, jururawat berusia 30 tahun itu mempamerkan sisi lainnya dengan mencipta semula anatomi dan organ manusia dalam bentuk kek.

Katherine, pelajar ilustrasi dan arca di Rhode Island School of Design dan bekerja dalam bidang robotik sebelum menjalani latihan sebagai jururawat, mengkhusus dalam pembuatan kek berdasarkan organ dan bahagian anggota manusia.

Ibu kepada dua anak ini mula membuat kek beberapa tahun lalu sebagai hobi.

Projek pertamanya adalah tunggul pokok yang dipenuhi cendawan sebelum beralih kepada subjek yang lebih mengerikan.

Katanya kepada Daily Mail Online : “Saya mula membuat kek cendawan untuk kelab cendawan saya, Rochester Area Mycological Association.


“Saya menghasilkan tunggul kayu dipenuhi ‘cendawan’ yang diukir daripada marshmallow. Nyata pengalaman itu sangat menyeronokkan menyebabkan saya terus menjadikannya satu hobi selepas itu.”

Selain tugasnya sebagai jururawat dan membuat kek, Katherine sudah berkahwin dengan dua orang anak kecil menyebabkannya perlu bijak membahagikan masa.

“Selalu saja saya bergelut mencari masa melakukan semuanya. Saya bekerja sebagai jururawat, berkahwin dan mempunyai dua anak, mempunyai seekor anak anjing dan 30 ayam. Jadi bahan diperlukan mesti sentiasa ada supaya boleh dilakukan bila-bila masa terluang,” katanya.

Pada masa kini, dia menghasilkan kek hanya untuk suka-suka tetapi mahu menjadikannya sebagai satu perniagaan satu hari nanti.


“Saya berharap dapat membuka kedai roti. Saya sangat sukakan semua proses membuat kek ini dan tidak mustahil melakukannya sepenuh masa. “Saya suka mencipta rekaan yang membuatkan orang merasai pelbagai emosi dalam satu masa.

“Inspirasi yang saya dapat, datang dari pelbagai perkara. Saya suka perasaan aneh yang saya rasa apabila sesuatu itu nampak benar tetapi tidak.

“Atau kek yang nampak tidak menyelerakan tetapi sebenarnya sangat sedap. Saya suka membuat orang merasai konflik mengenai dua perkara pada satu masa,” katanya.

Biarpun mengerikan, Katherine berkata setakat ini belum ada yang menolak untuk menikmati kek ciptaannya.

Katherine turut menghasilkan video bagaimana membuat kek selepas menerima permintaan dari orang ramai yang ingin mengetahui bagaimana dia melakukannya.

Sumber: myMetro