Muntah Keluar Benang, Aweera Risau Jadi Mangsa Sihir

Aweera
MENGAKUI sering demam dan batuk sejak 3 bulan lalu, Aweera tidak menyangka sakit yang menimpa dirinya itu akan membawa kepada muntah yang mengeluarkan benang.

Tambah Aweera, dia sudah beberapa kali mendapatkan rawatan kerana demam dan batuk berterusan tetapi doktor mengesahkan kerongkong dan tonsilnya sihat tanpa sebarang perubahan ketara.

“Saya pergi ke tiga klinik dan berjumpa dengan tiga orang doktor, semua bagi laporan yang sama mengatakan saya sihat dan tonsil saya tidak bengkak.

“Mereka kata merah sedikit dan itu perkara biasa kerana saya seorang penyanyi. Saya makan ubat seperti disarankan oleh doktor sehinggalah saya muntah keluar benang baru-baru ini.

“Saya bukan terlalu percayakan bomoh atau ilmu hitam, tetapi perkara seperti syirik dan khurafat itu wujud dan saya bimbang terkena permainan orang syirik dan khurafat,” katanya kepada Astro Gempak.

Aweera berkata, dia terpaksa melanggar nasihat doktor supaya berehat kerana perlu bekerja untuk mencari rezeki.

Tambahnya, dia kini sering mengalami masalah vokal ketika membuat persembahan pentas walaupun ketika sesi latihan vokalnya baik sahaja. –Kedahnews.com