Nak Kenakan Orang, Tapi Kepala Tersangkut Dalam Kostum


SEORANG gadis berusia 15 tahun yang berasal dari Alabama, Amerika Syarikat (AS) yang cuba mengenakan kawan-kawannya atau ‘prank’ dalam sebuah parti ‘sleepover’ ternyata gagal.

Dia dilaporkan mendapat malu besar apabila kepalanya tersekat pada kepala maskot Barney The Purple Dinosour yang cuba disarungkannya itu.

Malahan, helahnya tidak menjadi apabila kepala Barney itu tergelincir dari bahunya dan menyebabkan separuh daripada bahunya berada di dalam kepala tersebut.

Menurut Darby Risner kepada sebuah portal berita AL.com, dia sebenarnya hanya mahu menakut-nakutkan rakan-rakannya dengan memakai kepala dinosaur tersebut, namun sebaliknya pula yang berlaku.

Kawan-kawannya yang melihat aksi Risner yang bergelut untuk menanggalkan kepala Barney itu cuba untuk membantu namun mereka juga tidak berjaya.

Risner kemudiannya dibawa ke salah sebuah balai bomba di Alabama oleh ibu bapa dan rakannya. Pihak bomba terpaksa memotong kepala kostum Barney tersebut untuk mengeluarkannya.



Difahamkan, Risner terperangkap di dalam kepala Barney itu selama 45 minit dan kejadian itu telah dikongsi oleh rakan dan ahli keluarganya menerusi aplikasi Twitter.

Insiden ‘memalukan’ itu telah dikongsi sebanyak 2,000 kali setelah ia dimuat naik. – Kedahnews.com