Nenek Tua Jual Telur Asin 70 Sen Di Tangga Pasar Jitra


KEBIASAANNYA warga emas yang sudah uzur akan menghabiskan masa tua di rumah, melayan kerenah cucu dan melakukan amal ibadah untuk dijadikan bekalan akhirat.

Tetapi bagi seorang nenek di Jitra, Kedah desakan hidup dipercayai jadi punca mengapa dia terpaksa menjual telur asin di tangga pasar.

Ditemani seekor anak kucing, si nenek menjual sebiji telur asin pada harga 70 sen, sepanjang hari. Hanya haiwan itu sajalah penghibur hati dan penemannya.

Sesiapa pun pasti terasa sayu melihatnya tersengguk-sengguk menanti pembeli.

Maka sempena Ramadhan yang mulia ini, mereka yang tinggal di sekitar Jitra mungkin boleh menemui nenek ini jika teringin menjamah telur asin atau belilah atas niat mahu membantunya.

Difahamkan, nenek ini juga mengalami masalah penglihatan kurang jelas selain masalah kurang pendengaran.

Diharapkan ada pihak yang dapat berbuat sesuatu untuk membela nasibnya. – Kedahnews.com