Nik Abduh Beri Sebab Tak Sokong Deklarasi Mahathir-KitSiang

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menjelaskan mengapa parti itu mengambil sikap berhati-hati dalam menyatakan sokongan terhadap beberapa gerakan sivil yang menentang kerajaan.

Ketuanya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, PAS tidak menyokong gerakan seperti `deklarasi rakyat’ yang dianjurkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan kerana ia tidak bersifat institusional.

“Setiap perubahan perlulah bersifat institusional dan bukannya sekadar menjatuhkan individu tertentu,” tegasnya pada Muktamar DPPM Ke-57 di Kota Bharu, Kelantan semalam.

Nik Mohamad Abduh dalam pada itu menjelaskan, Islam membenarkan bertahaluf dengan pihak yang tidak memusuhi Islam.

Bagaimanapun, kerjasama politik itu bukan bermakna PAS terpaksa hilang jati diri dan dasar parti bagi pelaksanaan Islam demi mencapai kemenangan pilihan raya.

Beliau turut menjelaskan, kerjasama PAS dengan parti politik Islam di rantau ini bagi menghalang campur tangan asing yang sentiasa mencari peluang untuk memporak-perandakan kesejahteraan umat di rantau ini.

PAS disingkirkan daripada gabungan parti pembangkang selepas DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menubuhkan Pakatan Harapan pada tahun lalu.

Pakatan Harapan turut dianggotai Parti Amanah Negara (PAN) yang ditubuhkan oleh bekas pemimpin PAS yang taksub kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. –Kedahnews.com