Nizar Minta Maaf, Media Pula Jadi "Mangsa" Dipersalah

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin
KUALA KANGSAR - Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin akhirnya "menyerah kalah" apabila meminta maaf atas ketelanjurannya berkempen sehingga mengguris hati keluarga bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Namun begitu, beliau tetap menyalahkan media arus perdana dan media sosial kononnya tersalah lapor ekoran dipetik "di luar konteks" keseluruhan ceramahnya yang berlangsung di Kampung Sayong Lembah pada malam 7 Jun lalu.

"Laporan media sosial serta media arus perdana mengenai kenyataan saya sewaktu berceramah di Sayong Lembah pada 7 Jun yang lalu, saya tegaskan bahawa ia dipetik di luar konteks keseluruhan ucapan ceramah tersebut.

"Walau bagaimanapun jika sekiranya akbiat penglapuran yang salah dan tidak tepat oleh pohak media sosial dan cetak sehingga menyebabkan rasa terguris hati, terhina atau apa saja perasaan yang tidak senang kepada semua pihak.

"Maka dalam semangat dan ruh Ramadhan Al-Mubarak ini, saya yang juga merupakan seorang suami dan bapa menghulur sepuluh jari memohon sepenuh kemaafan yang jitu kepada isteri, anak-anak, seluruh kaum keluarga Allahyarham serta pucuk pimpinan kawasan, negeri dan pusat," katanya dalam satu kenyataan "permohonan maaf" sebentar tadi.

Nizar sebelum ini dilapor sengaja mempolitikkan kematian Allahyarham Wan Mohammad Khair-il Anuar dengan mengaitkan arwah sebagai "hukuman" kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana didakwa "merampas" kuasa di Perak hingga menyebabkan beliau hilang jawatan Menteri Besar.

Kenyataan Nizar itu disepakati oleh ramai wakil media yang hadir di Kampung Sayong Lembah malam tersebut apabila majoritinya melaporkan isu yang sama seperti yang beliau ungkapkan di depan hadirin.

Sementara itu, tindakan Nizar yang menyalahkan media atas "terlajak ceramah"nya itu menyebabkan beberapa wartawan tersinggung, seolah-olah menafikan kredibiliti laporan masing-masing.

"Semua dengar malam tu, majoriti lapor 'angle' yang lebih kurang sama, kita juga yang salah ke?

"Aku tak tau la media Cina lapor apa, tapi majoriti media bahasa Melayu lapor perkara yang sama, apa kita tak faham bahasa Melayu ke?," kata seorang rakan media yang enggan dikenali. -Kedahnews.com