Pakatan Harapan Disantau Mabuk "Road To Putrajaya" - Nik Abduh

Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan yang diketuai parti DAP dan dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN) ibarat sebuah gabungan parti pembangkang yang sedang `mabuk’ untuk mendapatkan kuasa memerintah negara.

Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, mereka mabuk kuasa kerana terpesona dengan cita-cita mahu menjadi Kerajaan Persekutuan hingga sanggup menyebarkan dakyah bahawa PAS kini menjadi tunggangan UMNO.

“Ketika PAS berpecah dengan DAP, PAS dituduh DAP sebagai tunggangan UMNO. Tuduhan itu mudah dihilangkan kerana PAS tidak pun mengikat sebarang perjanjian dengan UMNO sebagaimana ikatannya dengan DAP semasa dalam Pakatan Rakyat dahulu.

“PAS tunggangan UMNO hanyalah persepsi murahan golongan lemah yang terpelanting akibat disantau mabuk ‘Road To Putrajaya”,” tegasnya dalam satu kenyataan media semalam.

Beliau dipercayai berkata demikian bagi menyindir DAP yang sering memperlekehkan PAS sejak disingkirkan daripada gabungan parti pembangkang pada tahun lalu.

Segelintir pihak pula berpandangan kenyataan Ketua Pemuda PAS itu ditujukan ke atas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana meminta penjawat memberi sokongan kepada Pakatan Harapan untuk menawan Putrajaya jika mahu mendapat bonus yang banyak setiap tahun.

Mohamed Azmin semalam mengumumkan bonus hari raya sebanyak 1.5 bulan gaji, kenaikan gaji dan penambahan elaun perumahan kepada kira-kira 17,000 kakitangan awam di Selangor ekoran kekalahan teruk Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar baru-baru ini.

Pengumuman itu dilihat sebagai satu langkah terdesak Mohamed Azmin untuk menyelamatkan kedudukannya sebagai Menteri Besar Selangor selain bertujuan memesongkan perhatian orang ramai daripada kekalahan mengaibkan wakil Pakatan Harapan dalam kedua-dua PRK terbabit.

Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilantik sebagai Menteri Besar Selangor selepas berjaya mengulingkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melalui misi `Langkah Kajang’

Nik Mohamad Abduh dalam pada itu berkata, adalah haram untuk PAS bersama pihak pembangkang yang menentang kerajaan sehingga lebur segala prinsip perjuangan Islam demi menjatuhkan kerajaan. –Kedahnews.com