PAN Bidas Mufti, Bela DAP Bukan "Kafir Harbi"

Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa
KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) berang dengan kenyataan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman bahawa DAP merupakan parti politik Kafir Harbi kerana menentang hukum Islam.

Naib Presidennya, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, kenyataan umum demikian amat merbahaya dalam konteks pembinaan negara bangsa Malaysia iaitu pelbagai agama.

“Apakah yang didefinisikan sebagai ‘menentang Islam’ sebelum Kafir Harbi dikategorikan? Apakah Sohibus Samahah Mufti Pahang mengandaikan memberi pandangan dalam konteks demokrasi Islam itu menentang Islam?

“Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan menyatakan hak mendapat keadilan undang-undang untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, keturunan, bangsa dan tempat lahir,” tegasnya dalam satu kenyataan media semalam.

Mufti Pahang kelmarin tanpa berselindung dan secara terus terang menyatakan bahawa DAP yang jelas menentang pelaksanaan hukum Islam tergolong dalam kalangan kafir harbi yang wajib ditentang oleh umat Islam.

Malah, kata beliau, hukum bagi mana-mana umat Islam yang bekerjasama atau bersekongkol dengan DAP adalah haram serta berdosa besar.

Sehubungan itu, Mujahid mempersoalkan sama ada Mufti Pahang mempunyai pandangan yang sama dengan kumpulan militan Negara Islam (IS), Al-Qaeda dan Taliban yang melakukan kekejaman ke atas bukan Islam.

Justeru, beliau menuntut Mufti Pahang menarik balik kenyataan Kafir Harbi ke atas DAP. – Kedahnews.com