PAN Bidas PAS, Dakwa Dakwah Diterima Orang Sik

Sulaiman menyalurkan sumbangan makanan kepada salah seorang penduduk, baru baru ini.
SIK - Dakwaan Pas bahawa Parti Amanah Negara (PAN) kurang menerima sokongan undi daripada masyarakat Melayu sebaliknya hanya mampu meraih lebih pengundi daripada kaum Cina membuktikan mesej dakwah Islam Rahmatan Lil Alamin sampai kepada bukan Islam.

Ketua PAN Parlimen Sik, Sulaiman Ibrahim berkata, kaum Cina lebih bersama dengan agama Islam yang terbuka berbanding individu yang membawa agama secara ekstrem.

Menurutnya, Amanah juga berjaya menganjurkan sikap saling hormat menghormati biarpun di antara masyarakat Islam dengan bukan Islam.

“Amanah juga parti Islam, dakwah yang dibawa parti ini bukan sahaja diterima masyarakat Melayu, tetapi disambut baik kaum Cina dan India.

“Bukan Islam dapat menerima Amanah kerana akhlak dan pergaulan yang berhemah ditampilkan selain dakwah tanpa benteng yang diterapkan Amanah,” katanya .

Sulaiman berkata, kekalahan Amanah dalam dua Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kuala Kangsar, Perak dan Sungai Besar, Selangor juga bukan disebabkan kekurangan undi kaum Melayu seperti didakwa.

“Kita tewas bukan kerana kurang undi Melayu, Amanah turut mempunyai sokongan pengundi Melayu dari Umno dan Pas.

“Namun kekalahan baru-baru ini adalah kerana PRK di buat secara tergempar dan masih ramai lagi rakyat yang belum mengetahui kewujudan Amanah. Di Sik sendiri masih ramai yang belum tahu mengenai penubuhan parti yang ditubuhkan baru lapan bulan ini,” katanya.

Beliau berkata, peluang Amanah untuk menang dalam PRU sebenar selepas ini tetap cerah biarpun dihimpit dengan kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak dan tewas dalam dua PRK terbaru.

“Sekiranya di peringkat Parlimen membuat gerak kerja lebih padu dan berjaya mengubah minda orang Melayu supaya berani berubah, tidak mustahil Amanah boleh menang,” katanya.

Dalam pada itu, kelmarin Amanah menyalurkan sumbangan pakaian baju raya sempena sambutan Aidilfitri kepada 1,000 orang fakir miskin di Sik.

“Bantuan sudah diberikan dan akan disusulkan mengikut senarai nama ditetapkan untuk Ramadan tahun ini,” katanya.

Sumber: Sinar Harian