PAN Kedah Ziarah Mangsa Kemalangan Di HSB

Asmirul (dua, kanan) melawat mangsa di HSB sambil disaksikan ibu mangsa, Nuraza Abdullah, 47, kelmarin.
ALOR SETAR – Hasrat seorang pemuda berasal dari Padang Besar, Perlis untuk berbuka puasa dengan juadah yang dibeli di bazar Ramadan tidak kesampaian apabila terlibat kemalangan  Khamis lalu.

Mohd Shazairie Firdaus Sham Sholanuar, 25, yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC 135 dikatakan dilanggar oleh sebuah motosikal dari arah belakang ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat dekat Langkawi.

Difahamkan, kejadian kira-kira jam 7 malam itu menyebabkan anak sulung dari empat beradik itu terjatuh atas pembahagi jalan yang mengakibatkan patah tulang belakang dan putus urat saraf tunjang.

Mangsa yang tidak sedar diri ketika itu terpaksa dikejarkan ke Hospital Langkawi untuk rawatan kecemasan.

Bapanya, Sham Sholanuar Mahmood, 46, berkata, akibat kemalangan itu anaknya mengalami lumpuh dari pinggang hingga kaki.

“Awalnya dia (Mohd Shazairie Firdaus) naik motosikal ke bazar Ramadan, tapi dalam masa perjalanan pulang ke rumah sewa, terlibat dengan kemalangan. Dia jatuh dan tidak sedar diri.

“Sekarang dia dah sedar, tapi tak boleh bergerak dari pinggang sampai kaki. Cuma tangan boleh bergerak dan mulut boleh bercakap sedikit. Doktor kata kena buat pembedahan untuk masukkan besi di belakang sebab tulang belakang dah hancur,” katanya kepada media, semalam.

Menurutnya, RM10,000 diperlukan untuk melakukan pembedahan segera memasukkan besi dan skru di belakang badan anaknya.

“Saya pun tak mampu, terpaksa minta tolong adik beradik bantu sebab mereka (hospital) nak duit itu semalam (kelmarin) juga, nak bagi cepat bedah.

“Patutnya dah buat pembedahan jam 3 pagi semalam (kelmarin), tapi tak boleh bedah lagi sebab dia demam. Kena tunggu sampai dia baik baru boleh bedah,” katanya.

Sham Sholanuar berkata, pembedahan itu perlu dibuat untuk membolehkan badan anaknya bergerak sedikit dan elak dari bongkok.

“Kalau bedah pun, doktor cakap 80 peratus tetap lumpuh. Kami cuma mampu berserah kepada Tuhan,” katanya.

Tambahnya, Mohd Shazairie Firdaus akan dipindahkan ke Hospital Ipoh dalam masa terdekat untuk pembedahan memasukkan besi di belakang badan.

Keperitan hidup remaja itu turut mendapat perhatian Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Asmirul Anuar Aris yang menziarahinya di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, semalam.

Beliau turut menyalurkan sumbangan kepada Sham Sholanuar untuk meringankan beban keluarga berkenaan.

“Kita harap semua parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu dapat tampil membantu mangsa.

“Insya-ALLAH, Pemuda Amanah Kedah melalui Biro Kebajikan Masyarakat akan mengambil tindakan. Mungkin kita boleh kumpul sedikit sumbangan untuk keluarga ini,” katanya.

Pegawai Khas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Cheah Soon Hai juga meluangkan masa melawat mangsa semalam.

“Saya dimaklumkan dia (Mohd Shazairie Firdaus) terlibat kemalangan di Langkawi baru-baru ini dan lumpuh akibat kejadian itu.

“Saya dah berinteraksi dengan keluarga mangsa dan difahamkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menghubungi keluarga berkenaan,” katanya.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menyalurkan melalui akaun Maybank Sham Sholanuar Mahmood 159030120346 atau hubungi talian 019-4642821.

Sementara itu, pesakit yang tidak mampu membiayai kos implan terlalu mahal mempunyai platform alternatif yang boleh menyelesaikan masalah itu.

Timbalan Pengarah Perubatan Hospital Sultanah Bahiyah, Dr Farique Abdul Hamid berkata, bantuan itu tidak terhad kepada kakitangan kerajaan sahaja malah terbuka kepada semua yang kurang berkemampuan.

“Bagi kes-kes implan yang perlu bantuan dan pembiayaan kalau pesakit itu tidak mampu. Kebanyakan pesakit di Kedah ini berpendapatan agak rendah, jadi kita ada saluran untuk bantu pesakit.

“Pesakit ini kita salurkan kepada Tabung Bantuan Kebajikan Perubatan melalui unit Pengurusan Kebajikan Perubatan di Hospital Sultanah Bahiyah. Kebiasaannya ia diberi secara automatik selepas pemeriksaan doktor,” katanya.

Menurutnya, mereka yang layak menerima bantuan itu akan dirujuk terlebih dahulu kepada Unit Kebajikan Perubatan sebelum dilakukan proses bertemu waris, pesakit dan lawatan ke rumah.

“Apabila kita ada implan yang pesakit perlu tanggung dan terlalu mahal, kita ada saluran yang akan rujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk lihat latar belakang keluarga dan pendapatan isi rumah.

“Dia tak ada kategori tertentu, semua yang tidak berkemampuan memang kita akan salurkan kepada JKM. Setiap hospital kerajaan ada Unit Kebajikan yang melakukan perkara itu,” katanya.

 Ditanya sekiranya keluarga berkenaan tidak mampu menjelaskan kos pembedahan jika perlu, beliau mengakui ia ditanggung oleh kerajaan.

“Cuma bayaran tertentu yang dikenakan itu adalah sangat sedikit," katanya.

Mengulas mengenai situasi Mohd Shazairie Firdaus Sham Sholanuar, 25, yang mengalami patah tulang belakang akibat kemalangan pada Rabu lalu di Langkawi, beliau enggan mengulas dan perlu dapatkan makluman lanjut.

Sumber: Sinar Harian