PAN Tuduh PAS Mahu "Main Congkak" Dengan UMNO

Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub
KUALA KANGSAR - Parti Amanah Negara (PAN) mendakwa PAS bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar bertujuan untuk "bermain congkak" dengan UMNO sekiranya berjaya menang pada 18 Jun nanti.

Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub berkata, PAS meminta undi dari pengundi di Kuala Kangsar, namun pendekatan bekas partinya itu hanya mahu "berkasih sayang" dan "berasmaradana" dengan parti tunjang Barisan Nasional (BN) itu.

Katanya, PAN bukanlah sebuah parti seperti PAS yang dikatakan enggan menyerang UMNO.

"Ini (PAS) minta undi dari rakyat, minta mandat dengan rakyat.. menang.. main congkak dengan UMNO dalam parlimen... Ni apa cerita?

"Kalau nak main congkak, nak taaruf dengan UMNO, nak berkasih sayang, nak berasmaradana dengan UMNO, tak payah masuk pilihan raya," katanya.

Katanya, PAN lebih baik berbanding PAS kerana parti dokongan barunya itu konsisten menyerang UMNO, sebaliknya PAS kini mengubah pendekatannya untuk berbaik-barik dengan mendekati parti kerajaan itu.

"(PAN) bukan (seperti) parti (PAS) yang taknak serang UMNO, nak berbaik-baik dengan UMNO, bawa keluar kenyataan memang kita sedang mendekati UMNO," katanya dalam ceramah beliau di pekan Manong, lewat malam tadi.

Salahuddin berkata, PAN bersama Pakatan Harapan yang akan menentang UMNO dan tidak akan berpendirian seperti PAS, parti yang beliau tinggalkan setelah 35 tahun bersama parti tersebut. -Kedahnews.com