Papan Iklan Fitnah PAS, Idris Mahu Polis Siasat


KUALA KANGSAR – PAS meminta polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat papan iklan kempen dipasang di sekitar kawasan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, yang menuduh parti itu kini bergabung dengan UMNO.

Naib Presidennya Idris Ahmad berkata PAS bersedia mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terbabit sekiranya polis membantu mereka melakukan siasatan.

“Papan iklan itu menuduh PAS sedang berusaha untuk bergabung dengan UMNO serta dituduh turut bersekongkol dengan isu 1MDB (1Malaysia Development Berhad),” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Beliau berkata tindakan berbaur fitnah lebih menjurus kepada strategi pihak tertentu untuk meraih sokongan pengundi dengan memburuk-burukkan parti PAS.

PRK Parlimen Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian Anggota Parlimennya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Pengundian PRK itu yang bakal berlangsung 18 Jun ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara BN, PAS, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Bebas. – BERNAMA