PAS Kedah Tanya, Mana Hospital Pendang?


ALOR SETAR - Kerajaan Persekutuan digesa mengotakan janji semasa PRK Pendang pada 2002 untuk membina sebuah hospital baru di daerah itu sebelum berjanji untuk meningkatkan kemudahan di Hospital Kuala Kangsar.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi berkata, janji itu masih belum direalisasikan hingga hari ini.

“Pas Kedah mengucapkan tahniah terhadap pengumuman Kerajaan Persekutuan yang menyediakan RM2 juta bagi meningkatkan kemudahan Hospital Kuala Kangsar - keprihatinan tinggi kerajaan BN terhadap kebajikan rakyat.

“Bagaimanapun, janji itu muncul secara tiba-tiba sewaktu tempoh berkempen PRK Kuala Kangsar mengingatkan rakyat Kedah terhadap janji BN yang dibuat pada PRK Pendang 2002 lalu,” katanya.

Menurutnya, pada PRK Pendang, BN berjanji untuk mewujudkan sebuah hospital di daerah itu dan perasmian tapak hospital dibuat di atas tanah  yang pernah dijanjikan untuk maksud yang sama beberapa tahun sebelumnya.

“Sultan Kedah (Yang di-Pertuan Agong) dalam perasmian Sidang Dun Kedah pernah menegur Kerajaan Persekutuan kerana melambat-lambatkan pembinaan Hospital Pendang yang dijanjikan itu. Tahun lalu, Perdana Menteri dalam ucapan Bajet 2016 menyenaraikan Hospital Daerah Pendang untuk pembinaan.

“Malangnya hingga hari ini, perkara yang pernah dijanjikan oleh BN itu belum menjadi kenyataan. Maka ada baiknya rakyat, khususnya pengundi Kuala Kangsar berfikir panjang sebelum mempercayai akan janji politik BN yang sering dimungkiri,” katanya.

Ahmad Fakhruddin berkata, pengumuman kerajaan memberi bantuan khas RM500 kepada penoreh getah dengan dana RM194 juta juga mengejutkan kerana dibuat apabila berlaku PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

“Sedangkan sejak tiga tahun lalu, penoreh puas menuntut pembelaan dari kerajaan ekoran kejatuhan harga getah tetapi tidak dipedulikan. Jika benar dana khas itu untuk bantu penoreh, kerajaan patut menggunakannya sebagai penambah nilai harga sekerap dari RM2 menjadi RM3 sekilogram.

“Seluruh penoreh di negara ini boleh menerima manfaat segera dan merasai kelegaan dengan kenaikan itu. Ia lebih adil dan saksama yang menoreh serta menjual sekerap akan menerima manfaatnya,” katanya.

Jelasnya, kerajaan BN juga tidak boleh lupa bahawa dana Insentif Pengeluaran Getah (IPG) yang diumumkan dalam belanjawan 2016 juga masih belum dibayar kepada penoreh hingga sekarang.

“Lebih malang lagi janji bantuan terhadap masyarakat penoreh, disudahi dengan permintaan perdana menteri supaya BN dipilih oleh pengundi dalam PRK ini.

“Tidakkah ia terang-terangan satu bentuk rasuah? Soalnya sampai bila rakyat mahu diperbodohkan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian