Pasangan Sahur Bersulam Dosa Di Kampung Pida 2, Jitra


JITRA – Sepasang kekasih yang pernah ditangkap tahun lalu kerana disyaki berkhalwat dicekup kali kedua di rumah sama di Kampung Pida 2 Mukim Jeram, dekat sini oleh sepasukan anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu (PADKP), awal pagi kelmarin.

Pasangan itu memberi alasan tinggal bersama hanya untuk berbuka puasa dan bersahur bersama namun tidak menyangka ditangkap khalwat jam 2 pagi.

Pegawai Agama Daerah Kubang Pasu Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, pihaknya ke lokasi kejadian pada jam 2 pagi selepas menerima maklumat awam berhubung kegiatan maksiat membabitkan pasangan itu.

Beliau berkata, operasi diketuai Mohammad Ihsanuddin Mohd Azahar bersama lapan anggota tiba di rumah lelaki itu dan mendapati pintu berkunci dari dalam.

“Selepas mengetuk pintu dan memberi salam hampir 20 minit, seorang lelaki berusia 25 tahun yang berseluar pendek dan memakai singlet membukanya dan terkejut sebaik menyedari kehadiran kami.

“Lelaki itu pada mulanya memberi alasan tinggal di rumah itu seorang diri namun anggota kami menjalankan pemeriksaan lanjut dalam rumah itu sebelum menemui seorang gadis berusia 18 tahun yang bersembunyi di sebalik tikar getah yang dijadikan penutup pintu kayu dalam ketakutan,” katanya.

Radzi berkata, hasil siasatan mendapati pasangan itu tidak mempunyai sebarang hubungan mahram atau suami isteri sehingga menimbulkan syak melakukan maksiat.

Beliau berkata, lelaki itu bekerja sebagai pemandu traktor dikatakan mengambil remaja perempuan itu di rumahnya di Jerlun datang ke rumah itu sejak petang kelmarin kononnya hendak berbuka puasa bersama.

“Namun alasan itu tidak boleh diterima kerana perbuatan mereka boleh menimbulkan syak kerana pintu rumah tertutup rapat walaupun memberi alasan hanya berbuka puasa.

“Berikutan itu, anggota kami menahan mereka untuk tindakan lanjut dan dibawa ke Balai Polis Jitra untuk dibuat laporan tangkapan sebelum dibawa ke pejabat agama daerah untuk tindakan lanjut,” katanya.

Radzi berkata, pasangan itu sepatutnya insaf melakukan perbuatan maksiat terutamanya di bulan Ramadan ini dan tidak sepatutnya mencemari bulan mulia ini dengan perbuatan maksiat.

Beliau berkata, pasangan itu dibebaskan dengan jaminan keluarga dan kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Sumber: myMetro