Patuh Hukum Islam, Mastura Guna Kaedah "Istimewa" Di #PRKKualaKangsar

KUALA KANGSAR - Patuh dan lebih taat kepada hukum Islam, calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid yang masih dalam edah akan berkempen menerusi kaedah "istimewa" untuk menyampaikan mesej beliau kepada rakyat, khususnya pengundi di Kuala Kangsar.

Tiga buah lori akan membawa mesej video Mastura yang akan dipaparkan melalui skrin LED gergasi yang lengkap dengan pembesar suara akan ke kawasan berkempen yang ditetapkan di sini sepanjang tempoh berkempen ini.

"Ketiga-tiga lori berkenaan telah tiba di sini pada pukul 9 pagi ini. Malam ini sebuah daripadanya akan mula berkempen penerangan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Chandan.

"Calon BN akan muncul di skrin-skrin LED bergerak ini untuk berkempen dan menyampaikan mesejnya kepada pengundi," jelas Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, kaedah "istimewa" tersebut telah dibincang dan dilaksanakan setelah menerima nasihat dari para ulama bagi menghormati tempoh edah calon BN tersebut.

"Datin Mastura juga akan muncul secara lintas langsung di lokasi yang ditetapkan untuk menyampaikan mesejnya kepada pengundi.

"Apa yang kita buat ini juga telah dibincangkan dan mendapat nasihat daripada ulama bagi menghormati tempoh edah Mastura.

"Jadi tidak timbul isu calon BN tidak boleh muncul menerusi skrin bergerak untuk berkempen," jelas Annuar lagi.

Mastura hari ini rasmi sebagai calon mewakili BN selepas suaminya Allahyarham  Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad meninggal dunia dalam tragedi nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

PRK Kuala Kangsar kali ini menyaksikan pertembungan empat penjuru di antara Mastura dengan tiga lagi calon mewakili PAS, PAN dan seorang calon Bebas. -Kedahnews.com