Dua remaja yang mengaku sempat menunaikan solat terawih bersama lelaki berusia 26 tahun ditahan di sebuah pondok kecil. |
PENDANG - Dua remaja masing-masing berusia 18 tahun mendakwa sempat melakukan solat terawih sebelum ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kota Setar/Pokok Sena, di sebuah kampung di Kubur Panjang, di sini, kelmarin.
Dalam operasi dilakukan, dua remaja berkenaan didapati sedang nyenyak tidur bersama rakan mereka berusia 17 dan 26 tahun sambil mendengar bacaan ayat suci al-Quran di sebuah pondok kecil.
Seorang remaja yang sempat solat terawih dilihat memakai baju Melayu berwarna hijau, sementara seorang lagi memakai baju T dan berkopiah putih.
Ketika disoal, masing-masing tidak mengaku mengambil dadah, namun pemeriksaan dilakukan berjaya menemui sebuah dapur dipercayai digunakan untuk menagih.
Rakan mereka yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kemudiannya mengakui peralatan berkenaan miliknya dan dipercayai digunakan untuk syabu.
Dia yang ditahan bersama sepupunya memberitahu mengambil dadah sejak setahun lepas, dan peralatan digunakan dihasilkan dengan merujuk internet sebelum mencipta sendiri.
Turut ditahan, seorang lelaki berusia 36 tahun yang bekerja sebagai penoreh getah di di Tualang Pokok Sena, kira-kira jam 1 pagi.
Lelaki dipercayai dalam proses penceraian bersama isterinya, berusia 32 tahun memberi alasan sedang menyiram pokok ketika pemeriksaan dilakukan.
Lelaki berkenaan yang memiliki anak lelaki berusia 5 tahun memaklumkan dia mengambil syabu dan heroin untuk membolehkan dia bekerja.
Malah, dia yang tinggal berasingan dengan isterinya mendakwa menjalani ibadah puasa, namun terpaksa mengambil dadah ketika waktu berbuka.
Difahamkan, bekalan dadah dibeli pada harga RM10 untuk satu straw dibeli daripada orang tengah di tepi jalan sekitar kawasan Pokok Sena.
Mereka antara penagih ditahan dalam operasi perangi dadah habis-habisan membabitkan 20 kakitangan AADK diketuai Ketua Unit Penguatkuasa AADK Kota Setar/Pokok Sena, Mohd Shukri Hussain.
Kata Ketua Pegawai AADK Kota Setar/Pokok Sena, Suria Azlina Shaarin, seramai 18 individu disyaki penagih dadah ditahan dalam operasi di kawasan sekitar Pokok Sena dan Kuala Kedah bermula 10 malam hingga 6 pagi itu.
Menurutnya, 14 individu didapati positif dadah melalui ujian air kencing dilakukan, manakala empat lagi dilepaskan pihak AADK.
Suria berkata, mereka yang positif ditahan di bawah Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, sementara calon SPM berkenaan dibebaskan bawah pengawasan AADK.
Sumber: Sinar Harian