Pengkebumian Mewah Dengan Limosin, Keranda Emas RM111,400


Sepanjang hidup mereka sentiasa diberi layanan kelas pertama, maka tidak hairanlah jika golongan elit ini terus membelanjakan wang walaupun selepas kematian mereka.

Satu dokumentari yang disiarkan baru-baru ini mendedahkan wang dibelanjakan golongan kaya di Britain apabila kematian orang tersayang.

Dari konvoi limosin mewah hingga ke keranda bersalut emas berharga £20,000 (RM111,400), tiada perbelanjaan yang terkecuali semata-mata mahu memastikan orang tersayang dikebumikan dengan penuh bergaya.

Pengurus rumah mayat terbaik di Britain menunjukkan bagaimana mereka berusaha memenuhi kehendak pelanggan, tidak kira betapa aneh permintaan itu.


Semua itu dilakukan supaya keluarga yang berduka dapat memberikan yang terbaik untuk pengebumian si mati.

Pengarah urusan syarikat AW Lymn di Nottingham, Matthew berkata kadang-kadang agak mengejutkan melihat ramai orang sanggup berbelanja besar untuk sesuatu yang tidak perlu.

“Kita semua boleh dikebumikan dalam keranda kadbod dengan upacara yang sangat mudah.

“Kini semua mahukan sesuatu yang luar biasa. Dahulu perkara seperti ini dianggap keterlaluan, tetapi kini ia menjadi cara istimewa untuk mengucapkan selamat tinggal kepada orang tersayang,” katanya.

Baru-baru ini, Matthew menyediakan konvoi kenderaan mewah Rolls Royces dan sebuah bas dua tingkat untuk membawa keluarga si mati ke upacara pengebumian.

Setibanya di sana, mereka mahukan suasana ladang dengan haiwan ternakan bebas berkeliaran dan dibentangkan dengan permaidani merah.

Seorang wanita pula sudah merancang upacara pengebumiannya dengan meminta keranda kaca kerana mahu meniru watak cerita dongeng, Snow White.


Penggunaan keranda mahal seperti Promethean yang berharga hampir £19,999 (RM111,000), boleh menelan belanja besar.

Namun, ia semakin mendapat permintaan ramai sejak upacara pengebumian beberapa selebriti terkenal, termasuk Michael Jackson.

Bagi yang tidak mahu dikebumikan, mereka boleh memilih cara dibekukan dengan bayaran bermula daripada £80,000 (RM450,000).

Untuk kereta mayat pula, kenderaan mewah seperti Bentley dan Limosin paling banyak mendapat permintaan.

Pelanggan juga boleh memilih perkhidmatan kereta kuda yang ditarik oleh enam kuda berwarna kelabu dengan bayaran £2,200 (RM12,200).

Sumber: myMetro