Pengundi Kuala Kangsar Rasional Pasti Pilih Mastura - Hishamuddin

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein
KUALA KANGSAR - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yakin bahawa calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid akan menjadi pilihan pengundi Kuala Kangsar sekiranya mereka berfikiran rasional pada 1 8 Jun nanti.

Kata Menteri Pertahanan itu, jentera BN pada ketika ini dalam landasan terbaik ke arah kemenangan parti bagi PRK ini berdasarkan tinjauan beliau di PDM-PDM di sekitar Bandar DiRaja itu sepanjang tempoh berkempen.

"Jentera kita daripada hemat saya berada di landasan yang amat baik sekali. Ini berdasarkan kepada tinjauan saya apabila turun ke PDM-PDM.

"Saya percaya bahawa sekiranya mereka rasional, tidak diadu domba, tak terikut-ikut dengan isu-isu yang kadangkala sengaja dibawa oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, saya rasa bahawa calon kita, calon Barisan Nasional di Kuala (Kangsar) ini merupakan yang terbaik untuk berkhidmat kepada rakyat di sini," katanya.

Namun beliau berpesan supaya jentera BN tidak mengambil mudah atau rasa selesa dengan keadaan tersebut, sebaliknya perlu memastikan ahli-ahli UMNO dan BN keluar menunaikan tanggungjawab mereka mengundi pada hari pengundian nanti.

Hishamuddin berkata demikian ketika menyempurnakan majlis Penyampaian Sumbangan Kasih Ramadhan di Dewan Orang Ramai di PDM Kampung Menora, Bukit Chandan, di sini petang tadi.

Turut hadir di majlis berkenaan adalah anak-anak calon BN, Wan Emir, Wan Imar, Wan Iskandar dan Wan Amar, serta hampir 300 penduduk Kg Menora dan jentera BN.

PRK Kuala Kangsar kali ini menyaksikan pertembungan empat penjuru di antara Mastura yang mewakili BN yang cuba mengekalkan kerusi Allahyarham suaminya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.

Mastura dicabar oleh calon PAS, Dr. Najihatussalehah Ahmad, calon Parti Amanah Negara (PAN), Prof. Madya Dr Ahmad Termizi Ramli dan seorang calon Bebas, Izat Bukhari. -Kedahnews.com