ALOR SETAR - Individu tidak bertanggungjawab dikhuatiri menjadikan bulan Ramadan sebagai tiket mengambi kesempatan mengumpul wang dengan menjadi pengutip derma.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Jabatan Agama Isam Kedah (Jaik), Syeikh Ahmad Faisol Omar berkata, ada individu mengutip derma kerana masyarakat mudah menjadi dermawan pada bulan ini.
“Golongan pengutip derma didakwa menjadikan lokasi tumpuan ramai seperti bank berdekatan bazar Ramadan ataupun pasar sehari sebagai lokasi mendapatkan wang,” katanya.
Bagaimanapun katanya, adalah menjadikan satu kesalahan sekiranya mengutip derma tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa agama.
"Pengutip derma palsu dikenal pasti dengan ciri-ciri memberi resit kepada penderma atas alasan meminta sumbangan untuk institusi tertentu, namun tanpa kebenaran.
“Berdasarkan pengalaman lepas, ada pengutip derma mengambil wang dalam tong sebelum menyembunyikan dalam poket sebaik menyedari kehadiran kami,” katanya.
Justeru katanya, pihak mereka khuatir aktiviti mengutip derma tanpa kebenaran adalah satu bentuk penyelewengan apabila wang tidak sampai kepada sasaran tujuan.
"Lebih membimbangkan, tindakan mereka dipercayai atas dasar membantu dari sisi Islam, namun hakikatnya ia penipuan," katanya.
Setakat ini katanya, pihaknya belum menerima aduan, namun begitu mereka akan melakukan serampang dua mata sewaktu pemeriksaan kesalahan tidak menghormati bulan Ramadan.
"Kami akan menahan pengutip derma terlibat jika dikesan melakukan perbuatan itu sewaktu pemeriksaan dibuat," katanya.
Syeikh Ahmad Faisol berkata, orang awam diminta berwaspada kerana perbuatan menderma adalah perkara baik, namun ia perlu dilakukan mengikut undang-undang.
Melalui tinjauan yang dilakukan bersama penguat kuasa Jaik sekitar sebuah bank di Mergong dan Jalan Pegawai, di sini tiada aktiviti derma yang dilakukan.
Namun kelihatan ada peminta sedekah terdiri daripada orang kurang upaya (OKU) dan wanita warga emas mengutip wang di hadapan bank-bank berkenaan.
Sumber: Sinar Harian