Shaharudin (kanan) melihat tanda harga yang disediakan sendiri oleh peniaga cucur udang, kelmarin. |
ALOR SETAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah dengan kerjasama sebuah syarikat tempatan, S-Line Network mengambil pendekatan untuk membantu peniaga-peniaga kecil dalam aspek penyeragaman tanda harga.
Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Shaharudin Hamzah berkata, usaha itu adalah bagi membantu peniaga-peniaga menyediakan tanda harga yang lebih cantik, seragam dan memudahkan pelanggan membuat pilihan makanan.
“Inisiatif ini dibuat setelah kita lihat tanda harga yang ada di Kopitiam Ukir Mall yang merupakan kawasan tumpuan orang ramai dan pelancong tidak seragam. Masing-masing buat tanda harga sendiri.
“Ia seolah-olah mencacatkan pandangan orang ramai apabila datang ke sini. Dari situ, timbul idea untuk kita bagi seragamkan tanda harga di Kopitiam Ukir Mall,” katanya kepada media, semalam.
Menurutnya, pendekatan itu juga secara tidak langsung dapat menarik lebih ramai pelanggan untuk menjamu selera di restoran berkenaan apabila melihat tanda harga yang dipamerkan adalah berpatutan.
“Ini merupakan usaha sama yang pertama di Kedah antara KPDNKK dan sebuah syarikat tempatan dalam aspek tersebut. Kos penyediaan tanda harga ini adalah serendah RM80, bergantung kepada saiz masing-masing.
“Semuanya ditanggung syarikat berkenaan, peniaga tidak perlu mengeluarkan apa-apa kos. Ini mungkin boleh dijadikan contoh kepada syarikat lain untuk melakukan program sama,” katanya.
Difahamkan, sebanyak RM7,000 diperuntukkan untuk penyediaan penyeragaman tanda harga kepada 16 peniaga di Kopitiam Ukir Mall.
Shaharudin berkata, program itu juga diyakini dapat memberi keuntungan kepada pengguna dan peniaga itu sendiri ketika berhadapan dengan peningkatan kos sara hidup.
Sumber: Sinar Harian