Ahmad Muzammil (dua, kiri) sedang menyoal siasat pemilik premis makanan dan minuman yang dipercayai menjalankan operasi sebelum waktu dibenarkan. |
KULIM - Walaupun pernah dikenakan tindakan pada tahun lalu, namun peniaga premis makanan dan minuman masih tidak serik menjalankan operasi jual beli di bulan Ramadan sebelum jam 3 petang untuk kaki ponteng puasa.
Pegawai Agama Daerah Kulim, Sheikh Muzammil Yub berkata, dalam Ops Tidak Hormat Bulan Ramadan mendapati peniaga masih menjalankan operasi menjual makanan dan minuman kepada pelanggan.
Menurutnya, hasil pemantauan juga mendapati peniaga yang sama dan masih tidak serik walaupun pernah dikenakan tindakan serta nasihat.
"Apabila kita menyoal siasat, mereka mendakwa sedang membuat persiapan untuk dijual sebagai juadah berbuka puasa, namun memasak di awal pagi.
"Malah kita juga mendapati ada bekas makanan dan minuman yang disediakan di dalam premis berkenaan walaupun pelanggan tidak ada di situ," katanya selepas ditemui di pejabatnya selepas operasi berkenaan, semalam.
Sheikh Muzammil berkata, premis di tiga mukim sudah diperiksa dengan dibantu lima pegawai dan 30 anggota penguatkuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik).
“Kita akan terus mengadakan pemantauan di seluruh kawasan Kulim dan akan mengambil tindakan tegas kepada premis yang masih tegar menjalankan operasi,” katanya.
Katanya, kaki ponteng dan pemilik premis yang didapati sudah makan serta menjual makanan dan minuman akan dikenakan tindakan di bawah Kanun Enakmen Kesalahan Jenayah Seksyen 14 dan boleh dikenakan denda dan penjara.
“Kalau kita berjaya menahan kaki ponteng dan pemilik premis akan terus dikenakan tindakan, namun tahun ini kita lihat ada sedikit penurunan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian