Penunggang Maut Di Sg Petani, Parah Di Bahagian Kepala

SUNGAI PETANI -  Seorang penunggang motosikal  maut, apabila motosikal dinaikinya terlibat dalam kejadian di Kilometer 7, Jalan Sungai Petani ke Kuala Ketil, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian, kira-kira jam 7.35 pagi,  mangsa, Sarina  Jafar, 47, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata mangsa meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan motosikal mangsa dan sebuah kereta Toyota Avanza yang menuju ke arah yang sama.

"Apabila tiba di tempat kejadian, didapati mangsa yang sedang menunggang motosikal di kiri jalan secara tiba-tiba melintas masuk ke tengah jalan.

"Dalam kejadian itu, kereta yang dipandu oleh seorang wanita berusia 42  merupakan kakitangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) didapati tidak sempat mengelak lalu merempuh motosikal mangsa. Akibat rempuhan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Md Zukir berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber: Sinar Harian