Penyokong Wajar Bergembira Kerana Islam Menang - PAS

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
KUALA LUMPUR – Pemuda PAS meminta seluruh penyokong parti itu supaya bergembira dengan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar semalam.

Ketuanya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, penyokong PAS wajar bergembira walaupun parti itu kalah dalam kedua-dua PRK tersebut kerana sentiasa bergabung dengan Islam.

“Kita mengecapi kegembiraan mencapai sebahagian matlamat yang kita sasarkan dan kita lebih mengecapi ketenangan menerima susunan dan tadbir Allah S.W.T untuk kita.

“Bergembiralah kerana kita sentiasa bergabung dengan Islam. Tiada kekalahan apabila istiqamah bersama Islam,” katanya menerusi laman Facebook beliau malam tadi.

Sehubungan itu, Nik Mohamad Abduh meminta seluruh penyokong PAS supaya memberi tumpuan ke atas malam Lailatul Qadar dan ibadah di bulan Ramadan ini. –Kedahnews.com