Peratus Undi Awal Tinggi Petanda Positif Buat BN - H2O

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein
KUALA KANGSAR - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yakin peratusan tinggi undi awal sebanyak 88.4 peratus bagi Pilihan Raya Kuala Kangsar yang berlangsung hari ini merupakan petanda positif buat Barisan Nasional.

Kata beliau, berdasarkan pengalaman beliau yang melalui pelbagai pilihan raya sebelum ini menunjukkan anggota beruniform mempunyai sifat setia yang sangat tinggi kepada kerajaan Barisan Nasional yang diterjemahkan melalui undi awal.

"Selalunya begitulah.

"Saya yakin insyaAllah bahawa anggota-anggota kita yang mengundi awal selalunya saya tengok apabila peratusan keluar mengundi (awal) itu tinggi, mereka setia kepada kerajan semasa," jelas beliau yang pernah menjadi Menteri Dalam Negeri sebelum ini.

Namun beliau berpesan supaya jentera BN tidak mengambil mudah atau rasa selesa dengan keadaan tersebut, sebaliknya perlu memastikan ahli-ahli UMNO dan BN keluar menunaikan tanggungjawab mereka mengundi pada hari pengundian nanti.

Hishamuddin berkata demikian ketika menyempurnakan majlis Penyampaian Sumbangan Kasih Ramadhan di Dewan Orang Ramai di PDM Kampung Menora, Bukit Chandan, di sini petang tadi.

Turut hadir di majlis berkenaan adalah anak-anak calon BN, Wan Emir, Wan Imar, Wan Iskandar dan Wan Amar, serta hampir 300 penduduk Kg Menora dan jentera BN.

PRK Kuala Kangsar kali ini menyaksikan pertembungan empat penjuru di antara Mastura yang mewakili BN yang cuba mengekalkan kerusi Allahyarham suaminya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.

Mastura dicabar oleh calon PAS, Dr. Najihatussalehah Ahmad, calon Parti Amanah Negara (PAN), Prof. Madya Dr Ahmad Termizi Ramli dan seorang calon Bebas, Izat Bukhari. -Kedahnews.com