Mohd Nazry (kiri) bersama Tawoon (tiga, kanan) dan wakil Pusat Khidmat Adun Bayu menyampaikan sumbangan makanan kepada Alissera ketika mengunjungi keluarga itu, kelmarin. |
BALING - Seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun dari Kampung Simpang Empat Mukim Siong, terpaksa berhenti sekolah selepas disahkan mengalami masalah kekurangan daya ketahanan badan sejak Julai tahun lalu.
Ibunya, Alissera Dinjat, 43, berkata, anaknya, Chavalin Suksuwan Ukdon Susuwan disahkan mengidap penyakit itu ketika berusia empat tahun, namun komplikasi penyakit itu semakin ketara ketika anaknya mula bersekolah.
Menurutnya, kesan daripada penyakit itu anaknya bukan sahaja terlantar sakit, malah tidak boleh bercakap.
"Disebabkan itu, saya dan suami terpaksa mengambil surat berhenti dari sekolah, setiap bulan dia perlu dibawa ke hospital untuk menerima rawatan,” katanya.
Alissera berkata, sejak mengidap penyakit itu, anaknya mudah dijangkiti pelbagai penyakit terutamanya demam.
“Tubuhnya ibarat tiada askar untuk lawan penyakit, dia senang sangat dijangkiti terutamanya demam. Jika siapa selesema pun tidak boleh dekati dia sebab mudah dijangkiti.
“Doktor ada maklum, anak saya berkemungkinan dapat sembuh jika dilakukan pembedahan di bahagian tulang belakang dengan syarat air tulang belakang perlu sama dengan ahli keluarga terdekat, namun ia tidak dapat dilakukan kerana tiada siapa mempunyai air tulang belakang sama dengan Chavalin,” katanya.
Menurutnya, kini anaknya hanya minum susu khas yang berharga RM145 dan perlu memakai lampin pakai buang setiap hari.
“Susu itu berharga RM145 setin dan tahan dalam seminggu. Lampin pakai buang yang digunakan pula lima keping dalam sehari.
"Walaupun anak saya ada menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan, namun itu tidak cukup untuk menampung keperluannya.
"Saya tidak bekerja dan hanya mengharapkan suami yang bekerja sebagai penoreh getah," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Tawoon Bonseng berkata, pihaknya mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan bagi membantu kanak-kanak berkenaan.
Dalam pada itu, Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Penduduk Daerah Baling (Perkeba), Mohd Nazry Md Bidin berkata, usaha membantu masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa perlu disuburkan.
“Walaupun kita berbeza fahaman agama, tetapi apa salahnya jika ada umat Islam sendiri yang tampil membantu adik Chavalin," katanya.
Bagi sesiapa yang ingin membantu keluarga ini boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional (02005-41-00003613-2) atau hubungi talian 019-5673037.
Sumber: Sinar Harian