Perompak Kedai Kain Di Pagoh Dicekup Tak Sampai 3 Jam


MUAR – Dua lelaki warga tempatan berjaya ditahan kurang daripada tiga jam selepas dipercayai merompak sebuah kedai kain di Pagoh kelmarin.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Azman Ayob berkata pihak polis berjaya menahan dua lelaki warga tempatan berumur 31 dan 32 tahun semasa sedang menaiki sebuah kereta di kawasan pasar raya Ten Ten Jalan Sengkang, Pagoh.

“Ketika kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, mangsa yang merupakan pemilik kedai kain bersama isteri dan anak mereka didatangi oleh dua lelaki yang bersenjatakan parang.

“Seorang daripada suspek telah mengeluarkan parang dan mengacukan kepadanya, manakala seorang lagi mengambil wang tunai RM500 dari mesin wang, seutas rantai emas milik isteri mangsa dan kunci kereta mangsa,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar dekat sini semalam.

Beliau berkata kedua-dua suspek tersebut cuba melarikan kereta Toyota Vellfire milik mangsa namun gagal berbuat demikian apabila berjaya dihalang oleh mangsa.

Katanya mangsa sempat memukul cermin hadapan kereta jenis Mercedes-Benz yang dinaiki oleh kedua-dua suspek menggunakan batang besi namun gagal menghalang perompak berkenaan daripada melarikan diri.

“Mangsa dan isteri tidak mengalami sebarang kecederaan namun anak mangsa berusia 21 tahun diikat kedua-dua tangannya ke belakang sebelum suspek melarikan diri bersama wang tunai dan rantai emas bernilai kira-kira RM1,500,” katanya.

Azman berkata bertindak atas aduan mangsa, dalam tempoh kurang daripada tiga jam, polis berjaya menahan kedua-dua suspek terbabit yang sedang menaiki sebuah kenderaan di kawasan pasar raya Ten Ten.

Beliau berkata hasil daripada tangkapan tersebut, polis merampas sebuah kereta jenis Mercedes-Benz, sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan juga buku lima.

“Siasatan polis mendapati bahawa kereta jenis Perodua Myvi yang digunakan oleh suspek adalah kereta curi yang dilaporkan hilang di Kuantan, Pahang pada awal tahun ini manakala status kereta jenis Mercedes-Benz masih disiasat,” katanya.

Katanya polis juga mendapati bahawa suspek pertama mempunyai tujuh kes lampau melibatkan kes samun bersenjata dan pernah dibuang daerah.

Beliau berkata seorang lagi suspek didapati mempunyai tiga rekod jenayah lampau dan merupakan penjenayah yang dikehendaki di daerah Johor Baharu Selatan.

Azman berkata kedua-dua suspek ditahan reman bermula hari ini dan kes tersebut disiasat di bawah seksyen 395/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata. – BERNAMA