Persis Karya Van Gogh, Chagall, Renoir Di Atas Kek


Sepasang kekasih menjadikan kek sebagai kanvas untuk melukis semula karya agung pelukis terkenal dunia seperti Van Gogh, Chagall dan Renoir.

Artis Nastasja Chernogrivova dan kekasihnya seorang pembuat kek, Vitaly Mozkovoy dari St Petersburg, Russia, memutuskan untuk menggabungkan bakat mereka di atas kek.

Pasangan itu sudah lama membuat kek tetapi hanya baru-baru ini saja muncul dengan idea untuk mengubah kek kepada kerja seni yang hebat.


“Pada mulanya kami tidak melukis pada kek kerana menyedari ia kelihatan sama seperti orang lain.

“Saya sedar kami perlu melakukan sesuatu yang berbeza dan selepas beberapa minggu idea ini tiba-tiba muncul,” kata Nastasja.

Ujarnya, dia sangat meminati lukisan dan memutuskan untuk menggunakan bakatnya dalam seni hiasan kek.


“Kek pertama, saya hanya melukis beberapa bunga iris untuk festival amal dan menerima maklum balas positif daripada orang ramai,” jelasnya.

Menurutnya, tugas Mozkovoy adalah membuat kek, manakala dia menghiasinya menjadi karya pelukis tersohor dunia.


Dia menggunakan pelbagai jem dan perasa untuk mencipta semula lukisan karya oleh Chagall, Van Gogh, Renoir dan Korovin.

Setiap kek yang dicipta mereka adalah berbeza dan jarang mengulangi lukisan yang sama sekali gus menjadikan lebih banyak permintaan daripada pelanggan.


Nastasja mengambil masa 15 minit hingga ke beberapa jam untuk menyiapkan hiasan kek bergantung kepada kerumitan lukisannya.

Pasangan itu juga terbuka kepada sebarang permintaan, tetapi hanya satu yang mereka tidak lakukan iaitu melukis potret penerima kek hari jadi.

Nastasja Chernogrivova dan kekasihnya, Vitaly Mozkovoy dari St Petersburg, Russia
“Potret yang baik memerlukan banyak masa dan kerja keras. Tambahan pula, aising terlalu kecil dan mudah rosak.

“Selain itu, semua orang perlu ingat kek akan dimakan dan anda pasti tidak mahu potret anda dipotong,” jelasnya. -Agensi