Pertaruh Nyawa, Tak Gentar Memburu Puting Beliung


Seorang jurugambar mempertaruhkan nyawa untuk mengejar beberapa ribut bahaya di dunia bagi merakamkan imej kejadian alam yang menakjubkan itu.

Gambar dirakam James Smart seperti pusaran puting beliung, awan gelap gergasi dan kilat sambar menyambar pernah memenangi beberapa anugerah antarabangsa.

“Keadaan yang sukar dijangka adalah elemen yang paling mempesonakan saya.

“Sangat mengujakan untuk keluar mengejar dan melihat kepelbagaian ribut yang terhasil ini.


“Struktur dan saiz ribut serta jumlah hujan batu yang dihasilkan menjadikan ia satu pengalaman yang menyeronokkan dan tidak dapat dilupakan,” kata jurugambar dari Melbourne, Australia itu.

Smart, 31, berkata, kali pertama dia mengejar puting beliung ialah pada 2013, di Amerika Syarikat (AS) bersama adiknya, Rick.

Menurutnya, merakam gambar boleh menjadi satu proses yang sangat sukar terutama ribut ganas membuatkan tidak mudah untuk jurugambar menyediakan peralatannya.

Dia sering memegang sendiri kamera untuk merakamkan gambar ribut kerana keadaan angin yang terlalu kencang.


Smart mengembara ke seluruh AS seperti Colorado, Texas dan Dakota Selatan, termasuk tempat asalnya Australia.

Dia merancang kembali ke AS tahun ini untuk merakam lebih banyak gambar untuk portfolionya.

Tahun lalu dia memenangi wang tunai AS$10,000 (RM41,000) hadiah utama Pertandingan Fotografi National Geographic 2015 untuk gambar puting beliung yang dirakam di Simla, Colorado.


“Kami mengejar untuk merakam alam semula jadi yang menakjubkan ini.

“Bagaimanapun, kami tahu kesan cuaca buruk kepada penduduk dan tidak mahu sebarang kejadian tidak diingini terjadi kepada mereka,” jelasnya.

Sumber: myMetro