Hayati melihat perut suaminya yang semakin membesar kerana kegagalan fungsi paru-paru. |
KULIM - Seorang bekas tentera tidak berpencen di Taman Angsana, yang mengalami masalah perut membesar memerlukan sumbangan daripada pihak berkenaan bagi menampung kos rawatannya setiap hari.
Isterinya, Hayati Ahmad, 51, berkata, perut suaminya (Abu Bakar Mat Zin, 57) membesar dengan kandungan air selepas doktor sahkan paru-paru suaminya gagal berfungsi.
Menurutnya, sejak suaminya jatuh sakit tiga tahun lalu, mereka sekeluarga hilang sumber pendapatan.
“Selepas suami berhenti askar tahun 1997 dia mengambil upah memperbaiki barangan elektrik dan menyewa sebuah kedai.
“Namun selepas jatuh sakit pada tahun 2013 lalu, kami sekeluarga hilang sumber pendapatan,” katanya.
Menurutnya, sebelum ini, suaminya pernah dimasukkan ke Hospital Kulim kerana penyakit asma.
“Selepas tinggal di hospital lima hari, suami saya dibenarkan pulang ke rumah. Namun pada sebelah malamnya, suami muntah darah.
"Selepas mendapatkan rawatan, doktor mengesahkan paru-paru suami saya tidak berfungsi," katanya.
Hayati berkata, kini berat badan suami menyusut teruk, namun perutnya semakin membesar.
“Sejak awal tahun ini perut suami semakin membesar, kalau tersilap makan mesti akan cekang saja. Suaminya juga tidak boleh lagi ambil makanan keras selain susu khas.
“Doktor sarankan suami diberi satu jenis minuman susu yang mampu membekalkan tenaga dua kali sehari tapi harga sebotol RM10.50, memang saya tak mampu nak beli secara konsisten.
“Yang dua botol ini pun saya beli selepas dapat elaun mengajar al-Quran, baru-baru ini,” katanya.
Malah katanya, dia juga perlu membawa suaminya ke hospital beberapa kali seminggu ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Seminggu kadangkala tiga kali hingga empat kali kena berulang-alik ke hospital untuk dapatkan rawatan suami. Suami sekarang memang kena bantu sepenuhnya termasuk mandi,” katanya.
Dalam pada itu, menurutnya, akibat kekangan wang, anak bongsunya (Muhammad Syahmi, 18) juga terpaksa melupakan hasrat untuk menyambung pelajaran.
“Saya sedih bila lihat keadaan anak bongsu, dia sudah lama berhasrat nak sambung belajar ke peringkat lebih tinggi seperti rakan-rakan yang lain tapi terpaksa lupakan. Dia kata nak kerja bantu keluarga.
“Anak yang lain pula ada juga membantu tapi saya faham keadaan mereka yang perlu menanggung keluarga sendiri. Saya pun tak mahu susahkan mereka. Anak yang nombor tiga baru sahaja tamatkan pengajian dan sedang berusaha mencari kerja,” katanya.
Tambahnya, sehingga kini dia belum menerima sebarang bantuan daripada mana-mana pihak.
“Sekarang saya baru isi borang Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) dan sangat berharap agar ia diluluskan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian