Pilu Tragedi Sewol Masih Terasa Di Bilik Darjah


Gambar menunjukkan kelas yang pernah digunakan pelajar dan guru yang terbunuh dalam nahas feri karam Sewol cukup menyentuh hati.

Sewol yang membawa 476 penumpang karam selepas membuat pusingan tajam sebelum terbalik di pulau Jindo pada April 2014, menyebabkan 304 orang mati lemas, antaranya 250 pelajar Sekolah Menengah Dawon di Ansan.

Bencana itu berpunca daripada kesilapan manusia pengubahsuaian bahagian dalam kapal tidak mengikut peraturan, lebihan muatan, krew yang tidak berpengalaman.

Kapten Lee Jun-Seok - antara orang pertama diselamatkan dipenjara seumur hidup selepas didapati bersalah atas tuduhan membunuh tanpa niat manakala 14 krew lagi dihukum penjara antara dua hingga 12 tahun.

Pada ulang tahun kedua tragedi itu bulan lalu, satu majlis memperingati mangsa diadakan di seluruh negara bagi mengingati mereka yang terkorban.

Perhimpunan yang dihadiri 2,500 orang di Jindo itu melihat mereka yang hadir membaca puisi dan melepaskan ribuan belon berwarna kuning bagi memperingati orang tersayang yang terkorban.

Di Sekolah Menengah Dawon, satu kelas di luar pekarangan sekolah dijadikan tempat peringatan dengan keadaannya dikekalkan sama seperti ketika feri Sewol karam.

Bunga, surat dan gambar sebagai ucapan takziah diletakkan di atas meja dan dinding, selain reben kuning dilekatkan pada setiap meja, simbol harapan dan perpaduan.

Krew penyelamat kini berhempas pulas menaikkan feri seberat 6,825 tan permintaan utama keluarga mangsa, yang berharap dapat menemui sembilan lagi mayat yang masih hilang.

Feri Sewol terdampar lebih 40 meter di dalam air dan cabaran utama dihadapi pihak berkuasa ialah menaikkan feri sepanjang 145 meter itu tanpa patah.

Sumber: myMetro