Gambar Hiasan |
PETALING JAYA – Pengurup wang berlesen turut merasai kesan penyusutan mata wang pound yang disifatkan sebagai terburuk dalam tempoh tiga dekad.
Pengarah Halasuria Exchange, Datuk Abdul Sallam Packiry berkata pengurup wang tidak boleh mendagangkan mata wang pound buat masa ini.”Kadar purata berdasarkan kadar pada Khamis adalah kira-kira RM5.89 hingga RM5.90 per pound.
“Namun pelanggan tidak menjual mata wang itu kerana kadar tukaran terlalu rendah dan sebaliknya mereka lebih berminat untuk membeli.
“Namun tidak cukup stok kerana kadar tukaran masih begitu tinggi,” katanya.
Abdul Sallam berkata nilai pound mula jatuh sejak Khamis susulan undian majoriti warga Britain untuk meninggalkan Kesatuan Eropah (EU).”Kadar susut nilai adalah kira-kira 8 peratus sejak Khamis.
“Kami tidak pernah melihat trend mengejut sebegni sebelum ini. Ini adalah penurunan terburuk sejak tahun 1985,” katanya.
Abdul Sallam berkata ringgit mengukuh kepada RM5.65 berbanding pound yang disifatkan sebagai ‘terlalu rendah’.
“Kos yang kita tanggung sekarang adalah kira-kira RM5.90.
“Saya menerima banyak panggilan daripada pelanggan yang mengatakan RM5.90 terlalu tinggi.
“Ya, tetapi ia ada kos pada Jumaat dan kadar itu yang kami guna sekarang sebagai harga runcit,” jelasnya.
Menurut Abdul Sallam, beliau terpaksa menunggu sehingga Isnin ini sebelum memutuskan langkah seterusnya.
“Biarlah keadaan ini kembali tenang dahulu,” katanya.
Rakyat Britain membuat keputusan memilih untuk keluar daripada blok Kesatuan Eropah (EU) pada pungutan suara pada Jumaat, penolakan mengejutkan negara elit itu yang memberi tamparan besar kepada projek penyatuan Eropah sejak Perang Dunia Kedua.
Pasaran kewangan global pada Jumaat menjunam teruk sejurus keputusan penuh pungutan suara itu dikeluarkan yang menunjukkan ‘Kem Keluar’ (menyokong keluar daripada EU) menerima 51.9 peratus undian, berbanding 48.1 peratus undian memihak kepada ‘Kem Kekal’.
Mata wang pound mengalami susut nilai paling buruk dalam sejarah dengan merekodkan kejatuhan lebih 10 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), sejak 1985. – mStar