PPDNKK Sungai Petani Rampas150 Tong LPG

Penguatkuasa PPDNKK memeriksa tong gas LPG sebelum rampas dibuat di sebuah premis dekat kawasan perindustrian ringan, di sini, Selasa lalu.
SUNGAI PETANI - Taktik menyimpan tong gas petroleum cecair (LPG)  di sebuah premis dekat kawasan perindustrian ringan, akhirnya terbongkar menerusi Ops Gasak dilakukan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Cawangan Sungai Petani, Selasa lalu.

Ops itu diketuai Muhamad Muhaidi Abdul Rahman bersama empat anggota penguatkuasa selepas menerima aduan daripada orang awam selain hasil risikan dan intipan anggotanya selama seminggu sebelum serbuan dilakukan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Kedah, Shahrudin Hamzah berkata dalam serbuan dilakukan kira-kira jam 10 pagi, ke atas sebuah premis dijadikan 'stor' menyimpan tong gas LPG dekat kawasan perindustrian di Jalan Kerbau, Kampung Pengkalan Lebai Man,berjaya ditumpaskan pihaknya,

"Jumlah keseluruhan tong gas dirampas membabitkan 150 unit tong gas bernilai RM9,000. Iaitu sebanyak 74 unit tong gas seberat 12 kilogram dan 76 unit tong gas  seberat 14 kilogram yang kosong berada dalam kawasan premis berkenaan.

"Siasatan awal pihak kami, mendapati premis  berkenaan digunakan sebagai stor untuk pengedaran dan penjualan LPG di sekitar bandar Sungai Petani yang disyaki baru beroperasi dalam tiga minggu,"katanya pada sidang media, di sini.

Hadir sama, Ketua Cawangan KPDNKK Sungai Petani, Sha'arani Miskat.

Dalam serbuan itu, beliau berkata pihaknya menahan seorang pemilik syarikat terbabit bersama dua pekerja berusia lingkungan 30 hingga 40-an yang berada di lokasi serbuan untuk membantu siasatan lanjut sama ada mempnyai kaitan dengan mana-mana pemborong berlesen yang membekalkan tong gas.

Menurut, semua tong gas terbabit disita dan kes disiasat mengikut Seksyen 22 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan secara tidak sah atau tanpa permit daripada kementerian.

Sumber: Sinar Harian