#PRKKualaKangsar: 37 NGO Cina Ikrar Sokong Calon BN

KUALA KANGSAR – Hari keenam kempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar memberi satu lagi berita baik buat Barisan Nasional (BN) apabila bakal menerima sokongan masyarakat Cina tempatan.

Perkara tersebut dizahirkan sejumlah 37 buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili kaum Tionghua di Kuala Kangsar dalam pertemuan bersama-sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini semalam.

Mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kepentingan malah berikrar mengerahkan ribuan ahli untuk menyokong calon BN, Datin Mastura Mohd. Yazid mengalahkan pembangkang pada hari pengundian 18 Jun depan.

Sebagai tanda ikrar tersebut, kesemua pemimpin NGO berkenaan hari ini menyerahkan surat terbuka berbentuk kain pemidang menyatakan sokongan terhadap Najib dalam pertemuan di Sekolah Menengah Tsung Wah di sini.

Parlimen Kuala Kangsar mempunyai 24 peratus pengundi masyarakat Cina iaitu 7,907 daripada keseluruhan 32,949 pengundi berdaftar yang majoritinya sebanyak 68 peratus adalah kaum Melayu dan baki tujuh peratus ialah India.


Turut hadir pada majlis disertai hampir 1,000 orang tersebut ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Presiden Parti Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong.

Dalam pada itu, Najib berkata hanya kerajaan BN sahaja dilihat ada agenda jelas dalam usaha mengukuhkan lagi perpaduan kaum di negara ini malah yakin diversiti antara kaum menjadi asas utama mencapai status negara maju.

“BN mempunyai agenda yang jelas dan visi yang telah kita terangkan kepada rakyat, kita laksanakan dasar yang boleh bawa kepada uniti dalam negara,” katanya ketika berucap pada program bersama masyarakat Cina di Sekolah Menengah Tsung Wah di sini.

Perdana menteri berkata menerusi dasar kerajaan BN itu, sekalipun Malaysia terdiri daripada kalangan rakyatnya yang berbeza agama, budaya dan latar belakang pendidikan, namun mereka kekal bersatu dalam suasana harmoni.

Menurut beliau, konsep ‘kesederhanaan’ yang dilaksanakan kerajaan BN juga selaras dengan konsep ‘Chung Young’ diamalkan kaum Cina atau ‘Wasatiyyah’ oleh umat Islam menerusi penerimaan persamaan nilai.

Mengenai pendidikan, Najib berkata kerajaan sentiasa sedar akan kepentingannya kepada kaum Cina, malah beberapa dasar dan pendekatan telah kerajaan buat bagi membantu meningkatkan pendidikan kaum Cina itu.

Ujarnya dasar itu bukan baharu tetapi dilaksanakan sejak beliau pernah menjadi menteri pendidikan termasuk mengekalkan status sekolah aliran Cina daripada diubah dan menyerapkan ia ke dalam sistem pendidikan nasional.

“Pendidikan dekat di hati saya, saya hormati keutamaan kaum Cina kepada pendidikan,” katanya sambil menyeru mereka contohi masyarakat Cina di Sarawak memberi sokongan kepada BN pada pilihan raya negeri baru-baru ini.

Mengenai permintaan pihak Sekolah Menengah Tsung Wah untuk membina sebuah blok bangunan pentadbiran baharu, Najib berkata beliau akan berbincang dengan kerajaan negeri berkenaan peruntukan yang diperlukan.

Najib turut mengucapkan syabas kepada kerajaan negeri Perak yang memperuntukkan kira-kira 1,000 hektar tanah kepada sembilan sekolah persendirian di Perak sejak tiga tahun lepas.  -Kedahnews.com