#PRKKualaKangsar: Beli Rumah, Ubah Tempat Mengundi Jika Menang

Calon Parti Amanah Negara (PAN), Prof. Madya Dr. Ahmad Termizi Ramli
KUALA KANGSAR - Hanya jika menang di Pilihan Raya Kuala Kangsar, barulah calon Parti Amanah Negara (PAN), Prof. Madya Dr. Ahmad Termizi Ramli akan merancang untuk membeli sebuah rumah di parlimen ini.

Malah Dr. Termizi, beliau akan mengubah tempat mengundi beliau di Parlimen Kuala Kangsar jika berjaya menang pada PRK ini.

“InsyaAllah, saya akan jadi pengundi di sini lepas menang PRK ini,” kata Dr Termizi setelah diasak wartawan mengenai status beliau sebagai pengundi berdaftar di Shah Alam, Selangor.

Dr. Termizi diwar-warkan sebagai anak tempatan Kuala Kangsar dan memiliki saudara mara yang ramai di parlimen tersebut, namun dikatakan sebenarnya telah lama bermastautin di luar Perak sebelum ini.

Difahamkan beliau merupakan pengundi di Parlimen Shah Alam dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kota Anggerik di negeri Selangor.

Walau bagaimanapun, Dr. Termizi menjelaskan bahawa beliau mengundi di Parlimen Shah Alam adalah bagi membantu rakan baiknya, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, untuk menang di parlimen berkenaan.

Dr Termizi merupakan calon PAN yang mencabar tiga lagi calon lain yang mewakili Barisan Nasional (BN), PAS dan seorang calon Bebas. - Kedahnews.com