#PRKKualaKangsar: Bertegang Urat Sebab Bendera

KUALA KANGSAR – PAS mendakwa Parti Amanah Negara (PAN) telah melakukan kesalahan pilihan raya kerana menggunakan bendera yang mengelirukan dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar kali ini.

Peguam PAS, Mohd. Zamri Ibrahim berkata, warna bendera yang didaftarkan PAN ialah lambang tiga segi berwarna oren dan berlatarbelakangkan putih, tetapi bendera yang dipasang lambang warna putih berlatarbelakangkan oren.

Justeru, katanya, PAS akan membuat aduan secara rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) petang ini berkenaan bendera PAN tersebut.

“Kita bukan nak aniaya sapa-sapa tetapi aduan ini dibuat supaya ia tidak menjadi contoh parti lain,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Setiausaha Agung PAN, Suhaizan Kaiat bagaimanapun menyelar dakwaan yang dilemparkan oleh pemimpin PAS tersebut.

Beliau membalas tuduhan PAS dengan membangkitkan bendera dan logo PAS yang didakwa turut berbeza dalam kempen pilihan raya.

Menurutnya, bendera PAS berwarna merah, putih dan hijau manakala lambang PAS adalah putih dan hijau.

“Yang dipasang di tepi jalan semasa kempen itu bukan bendera tetapi lambang parti,” katanya. -Kedahnews.com