#PRKKualaKangsar: Kalau PAN Menang Pun Bukan Tun M Jadi PM

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Hafiz Syed Mustapa
KUALA KANGSAR - Sekiranya Parti Amanah Negara (PAN) menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar, Tun Dr Mahathir Mohamad bukanlah individu yang akan menjadi Perdana Menteri.

Justeru itu, tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Hafiz Syed Mustapa, sebarang kenyataan dari bekas Perdana Menteri itu perlu diabai dan tidak perlu dilayan.

"Kita tak payah kupas lagi tentang kenyataan yang dikeluarkan Tun (Mahathir), kalau kata PAN menang pun, bukan Tun (Mahathir) yang akan jadi Perdana Menteri," tegasnya kepada Kedahnews.com, semalam.

Kata Syed Hafiz, jika dirujuk corak politik Mahathir dulu, biar pun ada perbezaan pandangan dari kalangan pemimpin UMNO dan BN, bekas Presiden UMNO itu memegang kuasa veto dan tidak menghiraukan perbezaan pendapat tersebut.


Tegasnya, pendekatan tersebut jelas berbeza dengan corak Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak kini yang jauh lebih terbuka dan sedia membuka ruang untuk mendengar pandangan untuk diputuskan demi kepentingan serta kebaikan parti.

"Pemimpin-pemimpin yang dulu pun, walaupun berbeza pandangan tapi akhirnya terpaksa ikut Tun M.

"Tapi hari ini kita lihat, kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib sebagai Presiden nampak keterbukaan banyak, jadi kita nampak suara-suara akar umbi termasuk apa yang dibawa Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar sendiri didengar PM," jelasnya.

Syed Hafiz bersama kira-kira 30 ahli Pemuda UMNO Alor Setar sejak kelmarin berada di sini bagi membantu jentera BN mengekalkan kemenangan kerusi P067 Parlimen Kuala Kangsar, khususnya di dua PDM angkat BN Kedah di Kampung Talang dan Jalan Dato' Sagor. -Kedahnews.com