#PRKKualaKangsar: Kuala Kangsar Tak Lupa Sentuhan Bakti Arwah - Tajudin

Datuk Mohd Tajudin Abdullah
KUALA KANGSAR - Sentuhan Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad masih hangat dirasai masyarakat Kuala Kangsar dan mereka tidak akan sesekali melupakan segala jasa bakti beliau di sini.

Exco Penerangan Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Mohd Tajudin Abdullah berkata, beliau sendiri turun padang meninjau penduduk Kuala Kangsar dan mendapati rakyat yakin isteri Allahyarham yang terpilih sebagai calon Barisan Nasional mampu meneruskan kecemerlangan khidmat arwah suaminya.

"Tadi ketika saya menziarahi penduduk di PDM Kampung Talang dan Jalan Dato' Sagor, saya ziarah dari rumah ke rumah, saya dapati mereka pernah merasai khidmat Allahyarham yang begitu prihatin pada mereka.

"Contohnya masa saya ke sebuah rumah, beliau lumpuh dan pernah Allahyarham membantu beliau. Mereka tidak lupa pada keprihatinan Allahyarham dan isteri yang sering berkunjung ke rumah mereka, menandakan wakil rakyat BN tidak pernah lupa pada mereka.

"Jadi, saya yakin Datin Mastura tidak mempunyai masalah untuk dipilih rakyat Kuala Kangsar pada 18 Jun nanti. InsyaAllah BN akan berjaya kekalkan parlimen ini sekali lagi," katanya ketika ditemui di Rumah Kedah di sini, semalam.

Seramai 71 jentera BN Kedah berkampung di Kampung Talang dan Jalan Dato' Sagor sejak 5 Jun lalu bagi membantu gerak kerja kempen BN Perak untuk mengekalkan Parlimen Kuala Kangsar di tangan BN pada hari perhitungan yang dijadualkan pada 18 Jun ini.

BN diwakili oleh isteri Allahyarham Wan Wan Mohammad Khair-il Anuar iaitu Datin Mastura Mohd Yazid, menentang tiga lagi calon dari PAS, PAN dan seorang calon Bebas. -Kedahnews.com