#PRKKualaKangsar: Mat Sabu Gesa Ahli PAS Beri Undi Pada PAN

Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu
KUALA KANGSAR - Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu mendakwa PAS tidak boleh menang pilihan raya dan membentuk kerajaan seperti partinya ekoran pendirian parti itu yang enggan menyertai Pakatan Harapan.

Justeru itu Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu menggesa ahli dan penyokong PAS supaya memberikan untuk kepada calon PAN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar di hari mengundi pada 18 Jun nanti.

Menurut Mat Sabu, beliau sudah berpuluh tahun bersama PAS dan mendakwa bahawa satu-satunya cara untuk merampas kuasa dari Barisan Nasional di Malaysia adalah dengan bersekutu dengan parti pembangkang lain dari bukan Islam seperti DAP dan PKR.

Katanya, keengganan PAS untuk menyertai Pakatan Harapan bersama DAP, PKR dan PAN itu menyebabkan parti itu tidak boleh menang pilihan raya, sekaligus menyebabkan undi kepada PAS itu dianggap sia-sia sahaja.

Mat Sabu berkata demikian ketika hadir dalam ceramah PAN di Kampung Sayong Lembah, di sini semalam.

Sementara itu, Presiden PAS itu berkali-kali "tersasul" menyebut nama kampung itu dengan betul meskipun mendakwa sering ke kampung berkenaan sejak berpuluh tahun bersama PAS sebelum ini.

Mat Sabu mengungkap nama Kampung Sayong Lembah itu sebagai "Lembah Sayong", menyebabkan beberapa media yang hadir di ceramah berkenaan berbisik sesama sendiri, menyindir tentang "kesilapan" tersebut.

Turut hadir di ceramah berkenaan ialah Pengerusi PAN Kedah, Datuk Ismail Salleh dan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

Dianggarkan hanya seramai 50 orang sahaja hadir di ceramah berkenaan termasuk hampir separuh darinya adalah wakil-wakil media yang datang membuat liputan PRK di sini. -Kedahnews.com