KUALA KANGSAR - Pilihan Raya Kecil (PRK) P067 Parlimen Kuala Kangsar kali ini merupakan pilihan raya kecil terbaik dalam sejarah, sekaligus menandakan kematangan berpolitik bagi beberapa parti di Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, PRK Kuala Kangsar ini hanya mencatat 11 laporan polis sahaja berbanding PRK yang pernah berlangsung sebelum ini.
"PRK ini adalah PRK yang terbaiklah dalam sejarah, kerana di Kuala Kangsar ini hanya 11 saja laporan polis yang dilakukan.
"Kita harap ini akan dikekalkanlah," katanya di Martek PDRM di PRK Kuala Kangsar, di sini, petang tadi.
Ahmad Zahid mengulangi kenyataannya buat kali ke-empat tentang kematangan politik di Malaysia dan semua parti politik diseru supaya mengekalkan keadaan tersebut.
"Saya harap bukan hanya sekadar pematuhan terhadap Akta SPR ataupun Kanun Keseksaan ataupun Akta Polis, tapi lebih pada itu adalah hati dan nurani yang menghormati secara matang sistem demokrasi yang berjalan dengan baik di Malaysia," harap beliau.
PRK Kuala Kangsar berlaku setelah Ahli Parlimennya, Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad meninggal dunia ekoran nahas tragedi helikopter ketika berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak baru-baru ini.
Isterinya, Datin Mastura Mohd Yazid terpilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) yang dicabar 3 individu lain dari PAS, PAN dan seorang calon bebas. -Kedahnews.com