#PRKKualaKangsar: Veteran N87 Ikrar Sepakat Sokong Calon BN

Pengerusi Kelab N87 Negeri Perak, Datuk Mat Isa Ismail
KUALA KANGSAR – Tohmahan jahat pihak lawan konon kumpulan orang lama UMNO ‘merajuk’ membantu Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dibidas sebagai tidak berasas.

Malah kumpulan pemimpin veteran parti tersebut yang dikenali sebagai Kelab N87 menyatakan kesetiaan tidak berbelah bahagi mereka dengan pemilihan Datin Mastura Mohd. Yazid sebagai calon BN pada PRK berkenaan.

Justeru kelompok tersebut berikrar akan mengerahkan semua ahlinya berdiri teguh menyokong BN dan ini turut ditegaskan sendiri oleh Pengerusi Kelab N87 Negeri Perak, Datuk Mat Isa Ismail ketika ditemui.


Dalam pertemuan eksklusif di Markas N87 di Jalan Bendahara, Bukit Chandan di sini pada Sabtu, beliau yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) berkata isu itu sengaja dimainkan pihak tidak bertanggungjawab.

Berpengalaman sebagai Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang selain Ketua Pemuda bahagian itu lebih 20 tahun, beliau malah menegaskan kumpulan tersebut tiada masalah dengan sesiapa sahaja yang dipilih menjadi calon BN.

“Jika ada yang dikesan ‘merajuk’, kita akan dekati individu ini memberi penjelasan sekali gus menyekat usaha pihak tertentu cuba lawan BN dari dalam,” katanya yang pernah menjadi ADUN Changkat Jering suatu ketika dahulu.
Bilik gerakan N87 di Jalan Bendahara, Kuala Kangsar, Perak.
Ketika wawancara itu, puluhan ahli N87 yang terdiri daripada bekas ketua bahagian, cawangan dan aktivis UMNO turut dikejutkan dengan kehadiran anak kedua Mastura, Wan Imar Izzat serta sempat membuat ucapan ringkas.

Mengulas lanjut, Mat Isa berkata, N87 ada lebih 1,000 ahli di seluruh negara sejak disahkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia beberapa bulan lalu dan dinaungi oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri.

Meskipun majoriti ahlinya menghidap pelbagai penyakit lazim warga emas, mereka ujar beliau masih bersemangat berjuang demi BN dan UMNO sebagai membalas jasa parti keramat itu sejak sekian lama. –Kedahnews.com