PRU Ke-14: Mukhriz Beri Amaran Kepada UMNO Kedah


ALOR SETAR - Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir memberi amaran kepada Kerajaan BN Negeri Kedah supaya bersiap sedia untuk melepaskan tampuk pemerintahan kerajaan negeri kepada PAS pada Pilihan Raya Ke-14 nanti.

Kata Mukhriz, beliau melihat seolah-olah wujud pakatan di antara UMNO dan PAS di peringkat tertinggi kedua parti itu yang memungkinkan Kedah dikembalikan semula kepada PAS pada PRU yang akan datang.

"Saya lihat seolah-olah ada pakatan.. mungkin antara UMNO dengan PAS di peringkat tertinggi.

"Jadi pada hemat saya, ini sebagai satu amaran kepada UMNO Kedah.. bersiap sedialah untuk menyerah kerajaan negeri Kedah kembali kepada PAS selepas ini kerana nampaknya dah memang menjurus ke arah itu," katanya dalam satu kenyataan media, di Rumah Kelab Alumni Universiti Malaya, di ibu negara, petang tadi.

Mukhriz dalam kenyataannya turut mendakwa beberapa peruntukan untuk Dun Ayer Hitam yang diwakilinya telah dipotong dan berharap rakyat di kawasannya itu memahami keadaan tersebut.

"Saya harap rakyat di kawasan Ayer Hitam itu tidak dijadikan mangsa..," katanya yang kini merupakan Adun Bebas di Dun berkenaan. 

Walau bagaimanapun, difahamkan oleh rakyat di Dun Ayer Hitam bahawa hampir tiada sebarang perubahan atau pembangunan yang dilakukan Mukhriz di kawasan mereka meskipun beliau menjadi Menteri Besar Kedah selama hampir 3 tahun di situ. 

"Jalan pun dok berlopak sana sini, cuba sebut tengok apa yang dia dah buat kat tempat kami ni.." ujar pengundi yang kecewa dengan prestasi Mukhriz di Dun tersebut. -Kedahnews.com